BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari
Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria,
Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom
memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik
terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam
makmumnya.
Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan
Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya
terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah
kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12
tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam
ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan
berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan
oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan
Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka
akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni
Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar
Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab
Spring di Syria sedang berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan,
mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin
mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh
berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari
sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:
1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka
naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil
kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak.
Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari
dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah
tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar
dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah
selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun
sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod
hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai
kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang
berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik
dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah
bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan
masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya
dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring,
kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah
kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara
yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia
cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir
pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya
2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali
gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu
membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik
dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar
ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia,
baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei
sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.
5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah
tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi,
rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi,
sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus,
Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil
1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita
sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara
lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di
seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global
Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana
berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda
menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua
peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara
lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak
terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah
(matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat.
Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah
bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan
harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955
lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka
mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan