SHAH ALAM 26 Julai - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
akan berhadapan dengan gelombang bantahan rakyat di negeri ini jika
beliau masih mengutamakan agenda politik dan meneruskan hasrat mengambil
alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Menurut Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI)
Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad, Abdul Khalid
telah diperingatkan dan diberi penerangan tentang krisis air yang
meruncing tersebut, namun kedegilan beliau menerima kenyataan hanya akan
menjejaskan kebajikan rakyat.
Tan Sri Abdul Khalid telah diingatkan berulang kali berhubung krisis
air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang semakin
meruncing dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) adalah
jawapan kepada permasalahan tersebut.
Cadangan mengambil alih Syabas dan mengabaikan Langat 2, menunjukkan
beliau berdegil demi menjayakan agenda politik pakatan pembangkang dan
langsung sekelumit pun tidak prihatin terhadap masalah air yang bakal
menyebabkan Selangor menjadi negeri mundur," katanya ketika dihubungi di
sini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa Menteri Besar
Selangor itu tetap dengan keputusan kerajaan negeri untuk mengambil
alih Syabas dan menolak Langat 2.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang),
Budiman Mohd. Zohdi berkata, Abdul Khalid perlu mengutamakan agenda
membantu rakyat Selangor dan melupakan sejenak permainan politik yang
tidak menguntungkan masyarakat.
Isu bekalan air terawat adalah sesuatu yang bersifat teknikal.
Penerangan serta perancangan mengatasi masalah air telah dimaklumkan
kepada pihak kerajaan negeri.
Menteri Besar perlu akur masalah air di Selangor adalah satu fakta,
isu pengambilalihan Syabas hanya akan mewujudkan pertikaian baru antara
kerajaan negeri dengan Syabas, ini bermakna masalah bekalan air akan
berterusan kerana pembinaan Langat 2 dilengahkan," katanya.
Dalam hal tersebut, kata beliau, pihak yang rugi dan akan menjadi
mangsa agenda politik sempit Abdul Khalid adalah rakyat di Lembah Klang.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan