IPOH 26 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun
Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan label Islam namun parti itu
tidak akan mengabaikan amanah meletakkan perjuangan agama di tahap
paling tinggi selari dengan matlamat menegakkan maqasid syariah.
Sambil menyelar golongan tertentu yang sanggup menyempitkan agama
demi kepentingan politik, Perdana Menteri berkata, BN tetap
mempertahankan asas-asas maqasid syariah termasuk dalam soal memelihara agama, akal dan keturunan.
"Itulah panduan induk kita sebagai sebuah parti. Kita berpandu kepada maqasid syariah yang berkehendakkan kita menjaga agama, soal ilmu, begitu juga akal, keturunan dan ekonomi.
"Semua ini kehendak Islam, Islam tidak mengajar kita menyempitkan
agama, tetapi orang yang menyempitkan agama ialah puak-puak tertentu
yang melakukannya kerana kepentingan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang
dihadiri lebih 5,000 orang di kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Dr. Zambry Abd. Kadir di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri
Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Menteri Kewangan Kedua,
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi
Lek dan Timbalan Pengerusi Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.
Najib dalam ucapannya turut menekankan perjuangan agama perlu
diletakkan melampaui kepentingan politik bagi memastikan perpaduan dan
kesejagatan ummah dan masyarakat dapat dipertahankan.
"Kalau kita tidak meletakkan Islam pada tempat tertinggi dan utamakan
politik daripada agama, maka apa yang orang lain buat walaupun baik,
semua menjadi tidak betul.
"Sebab itu, pembangkang tuduh Felda bankrap, selepas itu nak halang
pula penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.. Ini semua angkara
orang yang iri hati dengan apa yang kita buat, walaupun ia baik untuk
rakyat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan