ISU air jangan dipolitikkan jika Kerajaan Negeri Selangor menganggap
pihak Barisan Nasional (BN) cuba mempolitikkan isu Talam Corporation
Berhad (Talam).
Air adalah keperluan asas utama untuk manusia terus menyambung hidup.
Jika sehari kita tidak ada bekalan air di tengah bandar sanggupkah kita
membeli berbotol-botol air mineral untuk dibuat minum, memasak dan
mandi.
Apa akan jadi jika air dicatu setiap malam, bukankah ini akan
mendatangkan masalah besar kepada keluarga yang melangsungkan kenduri
kahwin mahupun majlis keramaian.
Oleh itu, janganlah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim terus berdolak-dalik dalam dua isu tersebut takut nanti tepuk
air dalam talam terpercik ke muka sendiri.
Bukanlah rahsia lagi, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham
sebanyak 30 peratus dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Begitu
juga dengan isu pembelian hutang Talam Corporation (Talam) sebanyak
RM392 juta yang diketahui umum mendapat tentangan ahli Parti Keadilan
Rakyat (PKR) sendiri semasa cadangan tersebut dizahirkan oleh Abdul
Khalid pada tahun 2009.
Semua perkara ini jika dikaitkan, akan menjelaskan kepada rakyat
betapa Kerajaan Negeri Selangor cuba menekan mana-mana pihak dengan
secara halus dan penuh dengan helah politik.
Rakyat Selangor dan Malaysia tahu, betapa Abdul Khalid begitu
berpengalaman dalam bidang ekonomi kerana beliau pernah menjadi orang
penting dalam Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie).
Namun itu adalah sudut ekonomi yang melibatkan ilmu perdagangan dan
perakaunan tahap tinggi. Dalam politik beliau perlu sedar bahawa jika
perkara berkaitan ekonomi dipolitikkan ia bukan sahaja merosakkan sebuah
negeri malahan sebuah negara. Jika perancangan jangka panjang
dirosakkan maka semua pihak terpaksa menanggung akibatnya.
Tidakkah beliau terfikir sejenak bahawa masalah air di Lembah Klang
telah dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan sejak tahun
1970-an. Kemajuan ekonomi di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur
dan Putrajaya sejak awal tahun 1980-an ini bukan sahaja semakin rancak,
malah keperluan insaniah juga perlu dititikberatkan. Bekalan air perlu
cukup tanpa kompromi kerana tanpa air segala aktiviti sosial dan ekonomi
akan terbantut.
Hari ini isu Talam memasuki fasa baru apabila pembelian hutang
tersebut dilakukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang mana
ia dikatakan melibatkan wang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS).
Perkara ini amat mengejutkan kerana PKNS selama ini dianggap sebagai
sebuah entiti yang diwujudkan untuk membela rakyat Selangor dalam soal
penyediaan rumah kos rendah dan sederhana.
Apabila PKNS membeli hutang kumpulan Talam ini jelas menidakkan hak
rakyat Selangor untuk mendapat pembelaan kerajaan yang dikatakan
Kerajaan Berkebajikan.
Bulan lepas sekumpulan rakyat Selangor keturunan India berdemonstrasi
di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menuntut
janji pakatan pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk
mendirikan rumah kos rendah untuk mereka. Namun sehingga kini sebatang
paku pun masih tidak kelihatan di tapak yang dijanjikan.
Jika janji tersebut tidak dipenuhi tidak perlu kerajaan negeri sibuk
hendak mengambil alih Syabas yang sedang elok ditadbir oleh Ketua
Pegawai Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail. Selesai dulu kemelut
dalam isu Talam yang jelas membuatkan kerajaan negeri dan kroninya
kepanasan.
Syabas yang sedang kekurangan air untuk dibekalkan perlu dibantu
dengan Arahan Pembangunan (DO) untuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2
segera dikeluarkan.
Jangan terus bermain politik kotor takut tiada air yang cukup untuk
ia dicuci. Rungkai dahulu kemelut dalam Talam sebelum menjadikan Syabas
mangsa seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan