29 Julai 2012

Perihal tema merdeka dan cermin sisi komuter

TEMA sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 “Janji Ditepati" menjadi polemik selepas pihak pembangkang mendakwa terdapat unsur-unsur politik dengan tema tersebut. Bahkan ada pemimpin pembangkang mahukan rakyat memboikot sambutan tahun ini gara-gara tema tersebut.
Blog MyKMU (mykmu.net) menganggap sikap pihak pembangkang yang begitu trauma dengan “Janji Ditepati" seolah-olah bagi mereka tema tersebut boleh menyebabkan seseorang akan terpalit dosa atau jika tidak pun mungkin terjerumus murtad.
“Sedangkan tema sempena sambutan ke-55 tahun kemerdekaan tanah air itu jelas motifnya berunsur mendidik dan tulus murni maksud tersurat serta tersiratnya.
“Lagipun semua agama dan budaya pelbagai bangsa sudah cocok dengan amalan menepati janji (dan) pada masa yang sama mencemuh sikap tidak cakna seseorang pada janji yang diungkapkan. Jadi di mana salahnya tema ini?" kata blog ini.
Apa yang lebih pelik katanya, mereka yang marah-marah dengan tema tersebut beragama Islam sedangkan dalam Islam sekian lama amat menitikberatkan umatnya agar menepati janji supaya tidak tergolong dalam kalangan orang munafik.
Blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot.com) pula berkata, nampaknya pembangkang begitu fobia dengan slogan “Janji Ditepati" sehingga mereka bersungguh-sungguh mahukan agar tema sambutan itu ditukar.
“Saya nak tanya juga, mungkinkah beliau cuba mencadangkan agar tema ditukar kepada “Janji Bukan Untuk Ditepati" supaya mengingatkan rakyat kepada pakatan haram (pembangkang)... Dengan memperbesarkan soal tema Hari Kemerdekaan, (Datuk) Mustafa Ali seolah-olah telah membuat deklarasi bahawa pakatan pembangkang adalah parti yang tidak menepati janji.
“Jika inilah masalahnya, maka yang perlu diubah bukanlah tema Hari Kemerdekaan, tetapi sikap dari pakatan haram itu sendiri. Siapa suruh tidak tepati janji? Takkanlah kerana pakatan haram tak mampu tepati janji maka BN pula yang salah dan tema Hari Kebangsaan perlu diubah?" katanya.
Sementara itu, blog Paneh Miang (paneh.blogspot.com) menyentuh soal logo sambutan tahun ini yang dikatakan berbeza jauh dengan logo-logo sambutan sebelum ini.
“Di bawah ini ialah logo Hari Kemerdekaan 2012 yang telah diluluskan oleh siapa pun tak tahu. Yang pasti si tukang buat logo dan si tukang lulus logo mungkin sama saja agaknya, ..." katanya.
Blog tersebut turut mengemukakan beberapa rekaan logo baru hasil cadangan segelintir rakyat Malaysia “yang prihatin terhadap tahap kreativiti kumpulan yang mencipta logo Hari Kemerdekaan 2012".
CERMIN SISI KOMUTER
Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan dalam edisi ke-75 memaparkan isu tren komuter di Malaysia yang tidak mempunyai cermin sisi sebagai berita utama muka depannya.
Akhbar itu mendakwa ketiadaan cermin sisi itu mampu menjejaskan keselamatan penumpang yang naik turun kenderaan awam tersebut.
Susulan laporan tersebut, beberapa blog membidas laporan akhbar tersebut yang dianggap sudah kering modal untuk menghentam kerajaan sehinggakan isu cermin sisi komuter diperbesarkan.
Blog Darul Ehsan Today (darulehsantoday.blogspot.com) berkata, sesiapa yang pernah naik komuter pasti akan tahu bagaimana perjalanan di atas platform semasa tren sampai, masa penumpang masuk dan keluar, tren tiba dan berlepas semuanya cukup selamat.
“Tak pernah lagi aku dengar orang terbolos kakinya di celah platform atau orang tersepit di pintu komuter. (Bukankah) lebih selamat (jika) adanya pengawal di atas platform berbanding pemandu tren yang lihat cermin sisi untuk mengawasi penumpang keluar masuk tren.
“Apa pun inilah dia pembangkang, tak ada kerja lain puak-puak ni, asyik nak bangkang saja. Sekarang ni pembangkang nak tibai Najib dah tak lut jadi kenalah cari isu lain nak diputar-belitkan," katanya.
Blog Double-Y (yuseriyusoff.blogspot.com) berkata, itulah akhbar bertaraf sampah yang pernah wujud di negara ini sehinggakan ketiadaan cermin sisi komuter pun mahu dipersoalkan.
“Mempersoalkan ketiadaan cermin sisi kononnya pengendali tren sukar melihat penumpang, merupakan satu hujah bodoh dari akhbar paling bangang di Malaysia. Cuba beritahu negara mana yang komuter mereka menggunakan cermin sisi?" katanya.
Katanya, beliau tidak pernah nampak di mana-mana negara, tren komuter dipasang dengan cermin sisi hatta kereta api lama sekali pun.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Tiada ulasan: