TAIPING 30 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
yakin Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membuat keputusan tepat sama ada
mahu mengadakan pilihan raya lebih awal atau memanfaatkan sepenuhnya
mandat lima tahun untuk memantapkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Menurut beliau, dari satu segi, keputusan untuk menghabiskan baki
tempoh pemerintahan lima tahun mampu memberi keyakinan lebih tinggi
mengenai kemampuan serta keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan
masalah rakyat.
"Tetapi kemungkinan pula kalau bagi masa yang panjang, desakan atau
tuntutan termasuk yang bukan-bukan kepada kerajaan akan bertambah,
mereka akan ugut kerajaan kalau tidak bagi (maka) mereka tidak sokong.
"Itu pun kita kena tengok. Tetapi saya rasa Najib akan memberi
keyakinan kepada rakyat mengenai kemampuan kerajaan yang dipimpinnya,"
katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kebangsaan Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ke-51 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Naib
Yang Dipertua Perkim, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pemangku Setiausaha
Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Muhammad Rais Abdul Karim serta para
pemimpin gabungan pertubuhan itu.
Akhbar hari ini memetik kenyataan Najib bahawa keputusan beliau masih
berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak
bermakna kerajaan tidak yakin untuk menang, sebaliknya ia demi
menghormati mandat yang diberi rakyat.
Perdana Menteri berkata, walaupun mendapat sokongan padu, BN mahu
menggunakan baki mandat yang ada untuk berkhidmat dan terus membela
rakyat melalui pelbagai program yang telah dan bakal diadakan.
Ditanya persepsi mengenai pelbagai bantuan serta inisiatif kerajaan
termasuk pemberian wang ringgit yang dilihat sebagai 'suapan' politik,
Dr. Mahathir berkata, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan
sedemikian.
"Anda boleh anggap itu sebagai satu sebab tetapi kita tahu kos hidup
semakin meningkat, soalnya bagaimana kerajaan hendak bantu golongan yang
terlibat. Misalnya jika hendak hapuskan tol, orang miskin tidak
merasainya kerana mereka mungkin tiada kenderaan pun.
"Begitu juga jika hendak subsidikan sepenuhnya petrol, maka orang
kaya juga menikmatinya. Tapi kalau kita boleh beri wang untuk golongan
ini ringankan kos hidup misalnya tanggung yuran sekolah anak, beli buku
dan sebagainya, maka itu penjelasan yang boleh diterima," ujarnya.
Dr. Mahathir menambah, jika di bandar ia mungkin berbeza, tapi jika
orang miskin di kampung-kampung diberi RM500, ia sangat besar ertinya
bagi mereka dan beliau tidak fikir itu satu suapan.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mahathir yang juga Yang
Dipertua Perkim menggesa semua pihak termasuk badan berkuasa agama
supaya menjayakan proses dakwah secara berhemah, bukannya dengan
kekerasan.
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan