Najib Tun Razak diiringi Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda pelancaran Kibar Jalur
Gemilang dan sambutan Bulan Kemerdekaan 2012 di Little India,
Brickfields, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel.
*****
KUALA LUMPUR 17 Julai - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bertemakan
Janji Ditepati tahun ini bermula secara rasmi dan penuh bersejarah
menerusi pelancaran serentak Kibar Jalur Gemilang di tiga lokasi berbeza
malam ini.
Di Little India, Brickfields, pelancaran Kibar Jalur Gemilang itu
disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala
Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula merasmikan majlis itu di
Kampung Baru.
Satu lagi majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang disempurnakan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Jalan Petaling, di sini.
Ketiga-tiga lokasi itu dipilih bagi melambangkan kemajmukan
masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mana setiap kawasan itu
mewakili kaum majoriti Melayu (Kampung Baru), Cina (Jalan Petaling) dan
India (Little India).
Najib dalam ucapannya berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak
menodai kemerdekaan negara yang diperolehi hasil daripada perit jerih
pejuang-pejuang tanah air terdahulu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negara ini tidak kira kaum dan
agama merapatkan segera barisan, meningkatkan perpaduan serta memupuk
semangat yang sama supaya kemerdekaan negara dapat terus dipertahankan.
Kata beliau, kemerdekaan merupakan sesuatu yang tidak ternilai dan
berasaskan itu juga setiap rakyat atas satu suara, satu impian, satu
harapan serta semangat 1Malaysia perlu berganding bahu supaya
kemerdekaan yang dikecapi 55 tahun lalu sentiasa terpelihara.
"Ayuh kita rapatkan barisan agar nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini dapat dipertahankan," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, rakyat tidak boleh
alpa dengan nikmat kebebasan yang dikecapi sejak negara mencapai
kemerdekaan, sebaliknya, nikmat tersebut bukan sahaja perlu dipelihara
tetapi mesti dihayati semua pihak.
Katanya, kemerdekaan yang dinikmati itu tidak datang secara mudah
tetapi hasil perjuangan dan pengorbanan pejuang negara terdahulu dan
nikmat itu harus dipertahan melalui perpaduan di kalangan rakyat.
Menurut beliau, rakyat yang bersatu padu dan bekerjasama adalah
benteng paling kukuh dalam menghadapi sebarang ancaman yang mahu
menganggu-gugat kedaulatan negara.
Dalam pada itu, Tiong Lai pula menyifatkan usaha mengibarkan Jalur
Gemilang merupakan simbol perpaduan dan identiti 1Malaysia yang dapat
membangkitkan semangat jiwa merdeka di kalangan rakyat berbilang kaum.
Katanya, rakyat Malaysia harus bangga mengibarkan Jalur Gemilang yang
merupakan lambang persefahaman, perpaduan, dan toleransi antara kaum di
Malaysia.
/hwa: utusan.com.my | 18/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan