KUALA LUMPUR 28 Jun - Ahli Parlimen Sri Gading,
Datuk Mohamad Aziz (gambar) membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
kerana memesongkan fakta berhubung kenyataan beliau untuk 'menggantung'
Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.
Mohamad berkata, tuduhan terancang DAP yang mengelirukan rakyat itu
merupakan niat jahat parti cauvinis Cina itu untuk membangkitkan isu
perkauman, agama dan gender.
"Kenyataan asal saya di Dewan Rakyat kelmarin jelas merupakan satu
pertanyaan dengan beranggapan bahawa jika benar Ambiga telah melakukan
penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, (pihak berwajib perlu
mengambil tindakan).
"Saya bercakap dalam konteks keselamatan negara yang menjunjung
keluhuran Perlembagaan dengan berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara.
"Ia menyuarakan hak setiap rakyat yang cintakan negara berdaulat dan
terhindar daripada campur tangan asing serta unsur pengkhianatan oleh
mereka yang mengaku sebagai warganegara," katanya kepada pemberita di
lobi Parlimen hari ini.
Kelmarin, Mohamad menyebut 'Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap
penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong' bukan
'menggantung Ambiga sampai mati' seperti yang didakwa Guan Eng semalam.
Meskipun begitu, Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan tetap mahu
'menegakkan benang basah' dengan menyifatkannya sebagai menghasut dan
bersifat ekstremis serta mengancam nyawa Ambiga.
Jelas Mohamad, sekiranya Ambiga atau sesiapa sahaja didapati
melakukan pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara, individu
terbabit mestilah dikenakan hukuman mengikut lunas undang-undang yang
sedia termaktub.
Katanya, beliau menyerahkan kepada pihak Peguam Negara yang kini masih lagi menjalankan siasatan atas kejadian tersebut.
"Sebenarnya, DAP yang mahukan Ambiga digantung memandangkan kenyataan
saya bersifat soalan dan tidak sesekali mendesak agar Ambiga digantung.
"DAP meniup api perkauman dengan mengheret kaum India dalam isu ini
sedangkan sepanjang perbahasan saya tidak sebut sepatah pun mengaitkan
kaum India. DAP juga jahat dengan mengaitkan agama Hindu hanya kerana
saya seorang Melayu dan beragama Islam," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Guan Eng itu membuktikan
bahawa DAP sudah ketandusan isu apabila turut sama mengaitkan isu
keselamatan negara dengan isu gender yang langsung tiada kaitan.
"DAP melalui Guan Eng sebenarnya cuba menjadi hero kaum India dengan
menjadikan isu ini sebagai modal politik sempit mereka. Ahli Parlimen
Bagan cuba menutup kelemahan beliau dalam menangani masalah penduduk
Kampung Buah Pala," kata beliau.
Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui selepas itu dilihat tergamam
seketika selepas ditanya pemberita berhubung balasan Mohamad tersebut,
namun tetap mempertahankan pendiriannya bahawa Ahli Parlimen Sri Gading
itu telah melakukan hasutan.
"Pada saya, dia tetap menyatakan sesuatu yang menghasut serta
perkauman terhadap Ambiga. Kenapa sasarkan kepadanya seorang? Ramai lagi
pemimpin Bersih pelbagai kaum yang ada," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan