RAKYAT Mesir menyambut kemenangan Dr. Mohammed Morsi Isa al-Ayyat
dari Ikhwan Muslimin dengan sorakan tetapi Israel mengumpul curiga
manakala Amerika Syarikat (AS) menanti dengan waspada. Apabila
Suruhanjaya Pilihan Raya Presiden mengumumkan keputusan itu pada petang
Ahad lalu, salah seorang menteri Israel memberikan amaran, rejim zionis
"bersedia berperang".
Presiden Barrack Obama mengutuskan ucapan tahniah tetapi tidak
memberi banyak ulasan mengenai pelbagai kemungkinan dan kebimbangan yang
mungkin berlaku, kerana Morsi sudah pun membuat kenyataan akan menyemak
semula Perjanjian Kem David yang ditandatangani Jimmy Carter dan Anwar
Sadat pada 1979. Akibat perjanjian itu, Sadat pada 1981 terbunuh
manakala kumpulan Ikhwan Muslimin dituduh merancang pembunuhan tersebut.
Kemenangan Ikhwan Muslimin turut dilihat Israel sebagai halangan
besar untuk mencaturkan geopolitik di Asia Barat setelah dilihat hampir
berjaya apabila kekuatan Muammar Gaddafi berjaya dilumpuhkan, manakala
Syria sedang dicanangkan untuk dikenakan tindakan ketenteraan oleh NATO
dan kedudukan Bashar al-Assad semakin sukar untuk bertahan.
Ikhwan Muslimin pernah terlibat dalam peperangan dengan Israel bagi
membantu Palestin mempertahankan leluhurnya, dan pada 5 Jun lalu,
menandakan ulang tahun ke-45 perang besar-besaran yang disertai oleh
sebahagian besar negara Arab, yang dikenali sebagai Perang 22 Hari pada
1947.
Dalam kenyataan awalnya, Morsi yang berlatar belakangkan pengalaman
profesional sebagai jurutera belum menyatakan sebarang kemungkinan
membalas dendam sebaliknya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab
untuk memulihkan situasi politik Mesir agar kembali tenang dan aman
secepat mungkin.
Buat permulaannya, Morsi akan berhadapan cabaran untuk memilih
barisan Kabinetnya. Ini bermakna, Morsi perlu mempertimbangkan
kemungkinan membawa masuk beberapa pemimpin parti lawan kerana jarak
perbezaan pengaruh adalah kurang dua peratus (51.7 - 48.0 > 2.3
peratus). Populariti pembangkang yang bersifat sekular masih besar, dan
tentunya Morsi memerlukan keseimbangan yang berkesan berdasarkan
pengalaman bahawa parti yang berasaskan Islam hayatnya tidaklah boleh
bertahan lama.
Berdasarkan sejarah, tahap keyakinan rakyat kepada parti Islam
tidaklah begitu lama. Kerajaan-kerajaan Islam dicabar hebat oleh
pengaruh sekularisme yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk
manakala kuasa-kuasa luar atau asing sentiasa mencari jalan untuk
mensabotajkan kemantapan sistem politik Islam. Misalnya, parti Refah di
Turki, FIS di Algeria, Taliban di Afghanistan, Liga Awami di Pakistan
dan kepimpinan Gus Dur yang berasaskan ideologi Nahdatul Ulama di
Indonesia.
Kemenangan Ikhwan Muslimin turut mempengaruhi pemikiran politik
pemimpin pembangkang terutamanya Pas di Malaysia. Pas melihat kemenangan
itu memberikan keuntungan moral yang besar dan mampu dieksploitasikan
sebagai kekuatan baru untuk meraih sokongan pengundi-pengundi yang
beragama Islam.
Dalam beberapa reaksi awal, pemimpin Pas sudah memulakan gendang
membangkitkan emosi pengundi dengan melancarkan serangan bahawa sistem
pemerintahan sekular yang sedang berkuasa di Malaysia perlu ditamatkan
sebagaimana dilakukan rakyat Mesir.
Oleh kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bakal berlangsung,
kemenangan Ikhwan Muslimin dijadikan modal kempen yang dikupas dalam
perspektif, kerajaan sekular telah menafikan hak rakyat untuk
menggunakan wang royalti minyak kerana disekat, menganaktirikan
negeri-negeri pembangkang dengan tidak membenarkan negeri yang bukan
dikuasai BN melaksanakan projek pembangunan dan sebaliknya diselia oleh
Jabatan Pembangunan Persekutuan, tidak memperuntukkan wang secukupnya
untuk pembangunan sekolah-sekolah agama seliaan kerajaan negeri, dan
sebagainya.
Semua isu itu sengaja diketengahkan parti pembangkang untuk
memperlihatkan parti itu sahajalah yang benar-benar berjuang atas
landskap keadilan dan prinsip Islam. Dalam masa sama, parti-parti
pembangkang pernah mengeksploitasikan kebangkitan rakyat, kemenangan
calon prodemokrasi di Myanmar dan kemenangan parti-parti berhaluan kiri
(sosialis) di Perancis dan Parti Buruh di Britain menunjukkan arah yang
sama bakal berlaku dalam garis penentu landskap politik Malaysia pada
PRU-13.
Bagaimanapun, minggu lepas Perdana Menteri sudah mengingatkan rakyat
agar tidak mempercayai budaya politik pembangkang yang sentiasa
mengamalkan tiga doktrin negatif: bila berjanji, sukar menunaikannya;
bila bermasalah, sentiasa menuding jari; dan bila terperangkap,
memberikan helah.
Pakatan pembangkang hanya menumpang projek-projek yang dibina
Kerajaan Persekutuan, maka di situlah sebenarnya ukuran. Apakah
kemenangan Ikhwan Muslimin di Mesir benar-benar boleh menghapuskan
kebangkrapan moral yang sedang melanda pemimpin pembangkang? Jawabnya,
halangan dan penderitaan yang dilalui oleh Ikhwanul Muslimin sejak
ditubuhkan pada 1928 tidak ada satu pun boleh disamakan dengan
kesenangan dan nikmat yang diterima oleh pembangkang.
Pembangkang di Malaysia tidak pernah dinafikan kemenangan mereka.
Pemimpin pembangkang di Malaysia tidak pernah disekat untuk melaksanakan
aktiviti politiknya walaupun di luar musim kempen pilihan raya. Cuma
kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat,
pemimpin pembangkang mengalami gangguan psikologi dan gangguan itulah
sebenarnya yang sedang ditutup dengan mengecam dan menuding jari ke arah
orang lain.
Seharusnya pemimpin pembangkang dapat mencontohi kecekalan perjuangan
pemimpin Ikhwan Muslimin. Mereka tetap teguh mempertahankan idealisme
politiknya, bukan seperti mereka kerana ingin mendapat keuntungan dalam
jangka pendek sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan menerima
dengan mudah anwarisme.
Inilah asas yang begitu kejap tertanam sejak dipasakkan oleh Hasan
al-Banna. Hasil penelitian saya mengenai kekentalan Ikhwan Muslimin
berjuang mengekang pengaruh budaya Barat menerusi kolonialisme,
imperialisme dan neoimperialisme begitu ketara, dan itulah menyebabkan
pertubuhan itu kental dan berpengaruh meskipun ditekan, dihalang dan
cuba dilemahkan. (baca, Hakikat Pemikiran Politik Hasan al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan & Aktiviti Hasan Al-Banna, 2012).
Setelah berjuang lebih lapan dekad sejak mula ditubuhkan, idealisme
itu tetap utuh dan semangat pejuangnya tetap kental, maka kemenangan
dalam pilihan raya yang diadakan pada Mei lalu benar-benar merupakan
kemenangan bermaruah, kemenangan besar bagi Islam.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan