Mohammed Mursi mengimamkan sembahyang di salah sebuah masjid di Kaherah, Mesir. - AFP
*****
PADA Januari 2011, Dataran Tahrir di Kaherah, bermandi darah apabila
ratusan ribu rakyat negara itu berkumpul dalam revolusi menjatuhkan
pemerintahan autoritarian 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.
Peristiwa itu mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di Mesir yang
menyaksikan 900 orang terkorban diikuti dengan perletakan jawatan
Mubarak sebagai presiden.
Ahad lalu, Dataran Tahrir sekali menjadi tumpuan ratusan ribu
penduduk Mesir. Tetapi kali ini bagi meraikan pelantikan Mohammed Mursi
sebagai Presiden - Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih
melalui pilihan raya bebas. Malah yang pertama dari kalangan orang awam
dan pendokong Islam.
Ketika Mubarak yang kini koma dihantar kembali ke penjara, Mursi yang
pernah menjadi tahanan ketika Mesir di bawah pimpinan bekas presiden
itu melangkah ke Istana Presiden sambil mencongak barisan Kabinetnya
setelah mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya presiden yang
berakhir Januari lalu.
Mursi, 60, seorang jurutera bergelar profesor yang pernah belajar di
California, Amerika Syarikat (AS) dan pernah dipenjarakan kerana
pegangan politiknya oleh polis rahsia Mubarak, Ahad lalu berkata: "Hari
ini saya adalah presiden kepada seluruh rakyat Mesir."
Ungkapan itu dilihat sebagai detik perubahan dalam sejarah politik Mesir yang selama ini di bawah kuasa tentera.
Malah pelantikan Mursi dikatakan akan menjadikan Mesir lebih Islam
daripada sebelum ini dengan majoriti ahli parlimen dan barisan Kabinet
yang bakal dilantik katanya akan terdiri daripada para penghafal
al-Quran dan hadis serta ulama.
Tetapi mampukah Mursi merealisasikan apa yang diimpikan oleh Ikhwan Muslimin yang diwakilinya?
Di sebalik kejayaan itu, beban yang menanti Mursi bukan sedikit.
Dia perlu mengimbangi antara tuntutan rakyat di jalanan yang
mengangkatnya ke Istana Presiden dengan pengaruh tentera yang masih
tidak dapat dipisahkan daripada politik Mesir.
Tentera yang sudah 60 tahun menguasai politik negara itu tidak
mungkin menyerahkan kuasa dengan mudah. Malah kerajaan sementara setelah
Mubarak digulingkan yang disokong tentera telah meminda perlembagaan
bagi mengurangkan kuasa presiden.
Malah sebelum Mursi memberikan ucapan pertamanya sebagai Presiden,
pemimpin tentera yang memimpin kerajaan sementara telah mempengaruhi
para hakim membubarkan parlimen yang Ikhwan Muslimin menangi dengan
keputusan majoriti pada tahun lalu.
Dengan kuasa yang semakin kurang, cabaran hebat tentunya menanti Mursi dalam menjayakan agendanya kepada rakyat.
Pelantikan Mursi itu juga diharapkan tanda berakhirnya kemelut politik Mesir selama 16 bulan.
Kemelut itu bukan sahaja menyaksikan kejatuhan Mubarak, tetapi turut menyaksikan ketidakstabilan selain ekonomi Mesir merudum.
Dalam tempoh 16 bulan itu, bukan sahaja politik Mesir runtuh,
infrastrukturnya juga rosak, ekonomi hampir musnah, sistem pendidikan
kucar-kacir dan sistem kesihatan awam boleh dikatakan tidak wujud.
Sebab itu, cabaran yang dipikul oleh Mursi bukan sekadar memulihkan
kestabilan politik selepas Mubarak ditumbangkan, tetapi turut memulihkan
negara itu secara keseluruhannya terutama dalam menyediakan kehidupan
yang lebih baik kepada rakyat.
Pendokong revolusi yang menjatuhkan Mubarak terutama golongan muda tentunya mahukan lebih daripada sekadar pemimpin baru.
Mereka tentunya mahukan pemimpin yang alim dan mendokong Islam,
tetapi pada masa sama mahukan hak sebagai rakyat dipenuhi terutama dalam
isu pengangguran dan kemiskinan.
Dengan sektor pelancongan Mesir terjejas teruk ekoran suasana dalaman
tidak stabil selepas era kejatuhan Mubarak, ramai rakyatnya yang
bergantung kepada pelancong asing kini hilang pekerjaan.
Peranan utama Mursi kini selain membentuk barisan Kabinet yang mantap
ialah memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong asing supaya kembali
ke Mesir dan kembali menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.
Bagi rakyat Mesir, mereka menaruh harapan bukan sahaja untuk Mursi
membawa pembaharuan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran, tetapi
juga menyediakan kehidupan yang lebih baik.
Persoalannya sekarang, adakah rakyat Mesir di bawah pimpinan Mursi
akan menerima faedah yang lebih baik berbanding selama 30 tahun dipimpin
oleh Mubarak?
Itu yang perlu dibuktikan oleh Mursi bahawa tindakan rakyat negara itu memilih Ikhwan Muslimin adalah tepat.
Bagaimana pula dengan hubungan antarabangsa terutama yang membabitkan
persahabatan dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat
Israel?
Sedangkan, Mursi bukan sahaja anti-Israel, tetapi turut pro-Iran dan
Hamas di Palestin yang mana ia sudah tentu tidak disenangi oleh AS yang
berusaha keras untuk meminggirkan Iran dari kelompok negara-negara
teluk.
Sebab itu pelantikan Mursi diikuti dengan teliti oleh seluruh
masyarakat dunia terutama AS dan Kesatuan Eropah kerana dia dari
golongan pendokong Islam.
Bagaimanapun dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi menjanjikan satu kebangkitan Islam yang sederhana.
Bagi masyarakat barat, kecenderungan politik antarabangsa Mursi yang
anti-Israel dan pro-Iran serta pro-Hamas amat membimbangkan.
Apabila Mursi diisytihar sebagai pemenang dalam pemilihan Presiden
Mesir, Iran merupakan antara negara pertama yang mengutuskan ucapan
tahniah.
Malah Iran menyifatkan kemenangan itu sebagai keindahan dalam demokrasi yang menandakan kebangkitan Islam.
Perkembangan itu sudah tentu menggusarkan barat yang merupakan sekutu utama Mesir sejak sekian lama.
Tetapi, bagi para pemerhati, Mursi perlu memberikan tumpuan kepada isu domestik terlebih dahulu.
Masalah dalaman yang membabitkan isu keselamatan, kemiskinan,
penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan merupakan perkara
utama yang menuntut penyelesaian segera.
Tanpa kestabilan dalaman, Mursi tidak mampu menggerakkan kerajaannya.
Jika itu berlaku, sudah tentu dia akan gagal melakukan pembaharuan
seperti yang dituntut rakyat. Akibat daripada kegagalan itu tentunya
buruk. Antara kemungkinannya ialah rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Mursi perlu segera mengembali kestabilan negara itu yang sejak 16
bulan lalu terumbang-ambing. Apabila sudah stabil, barulah dia boleh
memacu Mesir ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan negara itu sebagai
sebuah negara Islam yang dihormati dan bukan sekadar boneka kuasa besar
dunia terutama AS.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan