Faekah Husin
*****
UMUM sudah sedia maklum mengenai pergolakan
dalaman kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor menerusi
laporan media massa, lebih-lebih lagi apabila munculnya tulisan
Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali menerusi laman sosial Twitter yang
menggesa agar Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin dipecat.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik tempatan, tulisan
Azmin itu menerusi kempen 'Kami sayang PKR' dalam laman sosial berkenaan
dilihat seolah-olah bukan merujuk kepada Faekah semata-mata, sebaliknya
ia lebih menjurus kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandangkan
Menteri Besar itu sendiri adalah bos kepada Faekah.
Mungkin ada benarnya dakwaan pelbagai pihak mengenai hubungan di
antara Azmin dengan Abdul Khalid yang dikatakan tidak sebulu dalam
banyak perkara sama ada melibatkan pentadbiran negeri hinggalah kepada
kepimpinan peringkat parti mereka sendiri.
Keadaan sedemikian mungkin boleh diteliti menerusi isu pelantikan
Setiausaha Politik Menteri Besar sebelum ini apabila Azmin dikatakan
tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid melantik Faekah yang juga bekas
Setiausaha Politik Presiden PKR, Datin Seri Wan Wan Azizah Wan Ismail
untuk mengisi jawatan itu bagi menggantikan Ahli Dewan undangan Negeri
(ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dikatakan merupakan orang
kepercayaan Azmin.
Ekoran pelantikan itu, berdasarkan laporan sebuah portal berita
propembangkang pada Jun 2010, Azmin meletakkan jawatannya sebagai Ahli
Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang
dipercayai sebagai protes terhadap Menteri Besar berhubung pelantikan
Faekah itu.
Malah, kalau dibaca laporan portal berita itu, ia turut memetik
kenyataan sumber yang rapat dengan Azmin bahawa tindakan Timbalan
Presiden PKR itu meletak jawatan dalam pengurusan PKNS bertujuan
melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Abdul khalid mengendalikan
pentadbiran negeri.
Malah, sumber itu turut mengatakan Abdul khalid juga turut
mengecewakan beberapa pemimpin PKR yang membuat keputusan tanpa
mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti itu termasuklah isu
pelantikan Faekah.
Selain itu, Azmin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor
pada 13 Julai 2010, Azmin pernah mengkritik pentadbiran Abdul Khalid
apabila didakwa masih gagal mengamalkan tadbir urus kewangan secara
berhemah berikutan anggaran perbelanjaan kerajaan negeri meningkat
hampir RM200 juta pada tahun berkenaan.
Namun, kritikan Azmin terhadap kepimpinan Abdul Khalid tidak terhenti
setakat itu, pada Sidang DUN Selangor, Mac lalu Azmin seolah-olah
secara tidak langsung mengkritik pentadbiran Menteri Besar itu dari segi
pengurusan kewangan dengan mempersoalkan perbelanjaan pengubahsuaian
pejabat Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali ketika menjawat jawatan sebagai Exco
Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan
Awam negeri.
Dalam sidang DUN itu, Azmin mendakwa perbelanjaan untuk
pengubahsuaian pejabat Hasan sebelum ini berjumlah RM300,000 itu
kononnya sebagai satu pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Ekoran kritikan Azmin itu, Abdul Khalid ketika menggulung perbahasan
pada sidang dewan berkenaan pada 27 Mac lalu mempertahankan perbelanjaan
kerja-kerja pengubahsuaian pejabat Hasan ketika menjadi Exco kerajaan
negeri sebelum ini dengan menyatakan ia dibuat dan luluskan mengikut
tatacara kewangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Apa yang dinyatakan itu sebenarnya sebahagian daripada peristiwa yang
berlaku membabitkan Azmin dan Abdul Khalid yang mungkin menunjukkan
hubungan sebenar dua pemimpin PKR Selangor ini dan ia bukanlah rahsia
yang boleh disorok lagi.
Itu tidak lagi termasuk tindakan Abdul Khalid yang dikatakan
seolah-olah lepas tangan dalam isu penyebaran imej lucah yang didakwa
mirip pemimpin pembangkang menerusi Internet apabila Menteri Besar itu
langsung enggan membuat sebarang pendirian atau ulasan mengenainya.
Ekoran pendirian Abdul Khalid dalam isu itu, ia telah mengundang rasa
tidak puas hati Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin terhadap Abdul
Khalid.
Umum mengetahui bahawa Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu
dianggap penyokong tegar Azmin. Malah, Zuraida sendiri sebelum ini
dilaporkan pernah menyifatkan Faekah sebagai 'celupar' dan tidak
mengenang budi kerana mempersoalkan Azmin yang dilantik sebagai Pengarah
Pilihan Raya PKR Pusat.
Paling terbaru, peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua
Eksekutif Pejabat Ekonomi Selangor seperti yang dinyatakan menerusi
Twitter beliau, setakat ini dilihat kemuncak kepada pergeseran antara
Azmin-Abdul Khalid.
Walaupun Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR itu menyatakan
alasan peletakan jawatan itu untuk berehat, namun laporan menerusi
laman-laman blog terus mengaitkan tindakannya itu secara tidak langsung
sebagai reaksi protes terhadap pentadbiran Abdul Khalid.
Mungkin ada benarnya juga apa yang dikaitkan oleh laman-laman blog
berkenaan memandangkan Razifi dikatakan merupakan penyokong kuat Azmin.
Malah, Rafizi juga pada 13 Jun lalu diperkenalkan oleh pakatan
pembangkang sebagai calon kawasan Parlimen Pandan untuk pilihan raya
umum akan datang. Dikatakan pencalonan Rafizi itu telah mendapat
perkenan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, timbul persoalan berikutan tindakan Rafizi meletakkan jawatan
itu adakah kerana 'arahan' pimpinan tertinggi parti yang diwakilinya
atau atas kerelaan sendiri. Jika alasan bahawa beliau tidak pernah kekal
lebih daripada dua tahun dalam satu-satu jawatan yang disandangnya, ia
adalah alasan yang sukar diterima akal. Mungkin itu prinsip yang
dipegang oleh Rafizi, tetapi adakah prinsip tidak pernah kekal dalam
satu-satu jawatan lebih daripada dua tahun itu akan diteruskan sekiranya
beliau menjadi seorang wakil rakyat.
Namun, di sebalik pergolakan dalam PKR Selangor yang berlaku, timbul
persoalan membabitkan pendirian sekutu mereka, DAP dan Pas dalam isu
berkenaan. Setakat ini, tiada sebarang ulasan, kenyataan, termasuk
perbincangan dibuat kedua-dua parti itu sama ada di peringkat pusat
mahupun peringkat negeri untuk menyelesaikan masalah itu.
Sebaliknya, DAP dan Pas negeri ini bersikap 'tunggu dan lihat'
perkembangan yang berlaku dalam PKR Selangor itu. Mungkin DAP dan Pas
melihat isu yang melanda sekutu mereka itu sebagai masalah 'rumah tangga
PKR' yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.
Namun, ada juga berpandangan DAP dan Pas sepatutnya membiarkan sahaja
PKR dengan masalah yang melanda parti itu tetapi pada masa sama mereka
mencari ruang dan peluang untuk mengukuhkan kedudukan politik
masing-masing di negeri ini.
Jika benar keadaan sedemikian, wajarlah DAP dan Pas mengambil sikap
sedemikian kerana pergolakan dalam PKR Selangor itu dilihat seakan-akan
'petanda awal' ketidakmampuan parti itu untuk menjadi tunjang dalam
pakatan pembangkang.
Sekiranya situasi sedemikian benar-benar berlaku, soal siapa yang
akan menjadi tunjang kepada pakatan pembangkang dilihat akan menjadi
pertikaian di antara PKR, DAP dan Pas. Jika mengambil kira Pas untuk
menjadi tunjang pakatan pembangkang di Selangor, parti itu sendiri
dilihat tidak mampu memperjuangkan serta menangani isu-isu membabitkan
kedudukan agama Islam di negeri ini.
Lihat sajalah bagaimana nasib Hasan yang dipecat daripada Pas pada
awal tahun ini apabila bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu bersetuju dengan
tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan
terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan
beberapa orang Islam.
Tindakan terhadap Hasan itu turut dibuat apabila beliau
mempertikaikan perubahan perjuangan Pas daripada negara Islam kepada
negara berkebajikan termasuklah tidak menyokong perhimpunan Kempen
Bebaskan Anwar 901 pada Januari lalu sehingga Azmin menggesa kepimpinan
Pas mengambil tindakan terhadap ADUN Gombak Setia itu.
Ekoran pemecatan Hasan itu, jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam yang
sebelum ini disandang oleh ADUN Pas diambil alih oleh Abdul Khalid.
Malah, Pas kalau diikutkan komposisi kerusi DUN pada hari ini, parti itu
hanya mewakili tujuh kerusi sahaja berbanding DAP yang menguasai 13
kerusi DUN.
Akhirnya, jika PKR dan Pas tidak mampu menjadi tunjang pakatan
pembangkang di Selangor, siapakah yang layak menjadi tunjang kepada
pakatan pembangkang kalau tidak DAP?
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan