TUMPAT 1 Julai - Datuk Dr. Hasan Ali menyeru ahli
dan penyokong tegar Pas menolak parti itu demi menyelamatkan Islam,
Melayu dan institusi raja-raja yang disifatkan beliau menuju kehancuran
angkara tindak-tanduk pakatan pembangkang.
Dalam siri jelajah ke-149 di padang Stesen Keretapi Tanah Melayu
Berhad (KTMB) di sini, malam tadi, Hasan menganggap beliau tertipu
dengan parti itu yang kini tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan
kepimpinan ulama.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, dua prinsip utama
perjuangan Pas itulah yang mendorong beliau menyertai parti tersebut
suatu ketika dulu meskipun sebelum itu telah berkhidmat lama dengan
kerajaan.
"Saya percaya dua sebab inilah yang mendorong kita semua masuk Pas.
Saya sendiri mempunyai banyak pilihan tetapi saya memilih Pas kerana
terpesona dengan perjuangan negara Islam dan kepimpinan ulama yang
mereka laung-laungkan.
"Tetapi saya berasa sangat tertipu kerana kedua-dua perjuangan ini
sudah tidak lagi diutamakan kerana matlamat pemimpin-pemimpin Pas
sekarang adalah Putrajaya," katanya di hadapan lebih 3,000 orang yang
hadir di ceramah berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Hasan berkata, Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam apabila
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57
tahun lalu menegaskan parti itu akan menegakkan negara berkebajikan di
Malaysia.
Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, prinsip
perjuangan parti itu berubah setelah 70 peratus daripada barisan
kepemimpinannya dikuasai oleh pemimpin sekular yang beliau sifatkan
sebagai parasit.
"Pemimpin-pemimpin sekular ini fokus utama mereka adalah Putrajaya.
Ketika saya menentang arak dan judi di Selangor dulu, DAP menentang
habis-habisan kerana Putrajaya begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat
(PKR).
"Lebih teruk apabila seorang pemimpin Pas datang ke rumah saya
menyuruh supaya jangan terlalu bertegas soal arak dan judi itu kerana
fokus utama sekarang adalah menawan Putrajaya dulu.
"Saya tidak boleh terima perkara itu kerana perjuangan saya, yang
mungkar akan tetap mungkar. Dan disebabkan oleh perjuangan menegakkan
Islam inilah saya akhirnya dipecat oleh Pas," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan