AHMAD Husni Hanadzlah (kanan) bersalam
dengan Syed Ali Alhabshee selepas menyampaikan taklimat ekonomi dan
politik semasa negara pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO
Bahagian Cheras di Kuala Lumpur, kelmarin.
*****
KUALA LUMPUR 2 Julai - Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai
sebuah negara maju menjelang 2020 tidak akan kesampaian jika rakyat
memilih pembangkang menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 nanti.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini
kerana untuk mencapai cita-cita tersebut dalam tempoh yang cuma berbaki
lapan tahun lagi, negara memerlukan kestabilan politik dan
kesinambungan dasar sedia ada.
Sambil menyifatkan tempoh lapan tahun itu sebagai 'tahun emas' beliau
berkata, hanya dasar transformasi yang sudah dan bakal diperkenalkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa Malaysia ke
arah tersebut.
"Selaku individu yang terlibat dalam Kementerian Kewangan, saya
belajar berasaskan realiti dan tiada siapa kecuali Datuk Seri Najib
boleh membawa Malaysia muncul negara maju menjelang 2020. Transformasi
yang beliau perkenalkan cukup teliti dan menyeluruh.
"Dunia kagum dengan transformasi beliau kerana ketika Amerika
Syarikat dan Eropah mengalami kemelesetan, beliau berjaya memacu
Malaysia di landasan yang positif," katanya semasa merasmikan Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Menariknya pada majlis perasmian itu, Ahmad Husni tidak memberikan
ucapan sebagaimana amalan biasa sebaliknya beliau membentangkan taklimat
lengkap menggunakan powerpoint kepada para perwakilan mengenai kedudukan ekonomi serta senario politik semasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang sebab untuk rakyat
membuat eksperimen politik dengan memilih pembangkang kerana terbukti
kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya memberi kesenangan, keharmonian
serta kemajuan kepada negara.
Sambil memberi contoh bagaimana nasib yang menimpa Argentina apabila
bekas Presiden, Juan Peron disingkirkan, beliau berkata, rakyat
Argentina yang suatu ketika menikmati pendapatan per kapita AS$10,000
(RM31,636) sebulan akhirnya menjunam kepada hanya AS$2,000 (RM6,327)
sebulan.
"Akhirnya apa terjadi? Barulah rakyat Argentina tersedar dan mahu Peron kembali menjadi Presiden sehingga lahirlah lagu Don't Cry For Me Argentina tetapi kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia. Jadikanlah ia sebagai iktibar untuk kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji kecekapan kepimpinan UMNO Bahagian
Cheras kerana berjaya muncul bahagian pertama yang memulakan mesyuarat
perwakilan dan berharap, kecemerlangan tersebut dapat diperluaskan
kepada rakyat di akar umbi.
Katanya, semua ahli UMNO Bahagian Cheras harus meletakkan diri mereka
sebagai 'hero' dengan mengambil tanggungjawab untuk menyebar luas
kepada seluruh rakyat mengenai usaha-usaha murni BN dalam membela
bangsa, agama dan negara.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan