KOTA BHARU 2 Julai - Walaupun projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai
masih belum diluluskan mesyuarat Exco, Kerajaan Pas Kelantan telah
meminta rakyat negeri itu menghulurkan derma bagi membantu pembinaan
projek tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau mengakui ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai ini
dan kerja-kerja awal untuk membina lebuh raya tersebut bermula sebaik
sahaja pelan yang diukur oleh juru ukur bertauliah diluluskan.
Menurutnya, sehingga kini hanya 30 kilometer daripada 78 kilometer
jajaran untuk membina lebuh raya tersebut siap diukur dan akan dibawa ke
dalam mesyuarat Exco Rabu ini.
"Hari ini mereka (juru ukur) masih bekerja di dalam hutan, 30 kilometer yang pertama telah siap diukur dalam tempoh dua minggu.
"Insya-Allah ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai ini.
Kalau Exco luluskan, ia akan berkuat kuasa serta-merta, insya-Allah kita
boleh mulakan terus kerana empat mesin telah berada di sana sejak
tarikh pelancaran.
"Kos yang ditanggung oleh kontraktor adalah RM100,000 setiap bulan,
duit yang membazir tidak termasuk kos insurans dan pasukan keselamatan.
Kalau Exco boleh izinkan, ia akan berkuat kuasa dan dilaksanakan
serta-merta pada 4 Julai ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri
Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Hassan Mohamood (Pas- Tawang) yang bertanya bilakah kerja-kerja awal pembinaan lebuh raya tersebut akan dimulakan.
Pada 28 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah
meletakkan batu asas pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di
Felcra Mek Nab, Berangan, Machang.
Pembinaannya dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sekali gus bakal
menyelesaikan masalah lalu lintas di negeri ini terutama pada musim
perayaan.
Kerajaan Pas Kelantan meminta rakyat negeri itu tampil menghulurkan
derma bagi membantu pembinaan lebuh raya yang menghubungkan bandar Kota
Bharu dan Kuala Krai.
Sementara itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan
Pas Kelantan yakin mampu membina fasa pertama lebuh raya tersebut yang
melibatkan kos sebanyak RM800 juta melalui royalti daripada bijih besi.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 40,000 tan bijih besi telah
dieksport melalui Pelabuhan Tok Bali dan dianggarkan jumlah keseluruhan
bahan mineral itu di negeri itu mencecah lima juta tan setahun.
"Pengeksportan bijih besi melalui pelabuhan ini telah menjimatkan kos
kontraktor. Sebelum ini kos untuk mengeksport bijih besi melalui
pelabuhan di Kemaman dan Kuantan adalah sebanyak RM45 satu tan tetapi
melalui Pelabuhan Tok Bali ia hanya RM25 satu tan.
"Jawatankuasa kami mencadangkan supaya royalti dikenakan RM10 minimum
ke atas tiap-tiap tan yang dieksport. Kini dianggarkan terdapat satu
juta tan pengeluaran bijih besi di negeri Kelantan setiap tahun dan
dijangka meningkat sehingga lima juta tan.
"Hasil daripada bijih besi ini sudah cukup untuk menampung pembiayaan
lebuh raya ini sebanyak RM800 juta sehingga 2015," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan