JOHOR BAHRU 1 Julai - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia
(PPPMM) menggesa kerajaan mengusir tiga diplomat Singapura yang terlibat
dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu serta
mengharamkan mereka memasuki semula negara ini.
Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, tindakan ketiga-tiga diplomat
terbabit jelas tidak menghormati negara ini selain boleh mencetuskan
ketegangan dan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
"Singapura sepatutnya lebih matang terhadap sensitiviti rakyat dan
negaar ini serta tidak sesekali campur tangan dalam urusan negara asing.
"Mereka tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam perhimpunan
berkenaan dan kemudian memberi alasan sebagainya. Justeru, kami mahu
ketiga-tiga diplomat ini diusir dan diharamkan masuk ke negara ini,"
katanya kepada pemberita pada program Melayu Kembalilah Bersatu di Hotel
TS, Masai di sini hari ini.
A. Rahman berkata, Singapura harus meminta maaf daripada kerajaan dan
rakyat negara ini dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada masa
depan.
Mengenai program anjuran pihaknya itu, beliau berkata, ia bertujuan
membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu yang dilihat semakin
berpecah belah mengikut fahaman politik masing-masing.
Menurutnya, program tersebut diharap dapat mengenal pasti punca
perpecahan itu dan mencari jalan untuk menyatupadukan semula orang
Melayu di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan