KUALA LUMPUR 26 Ogos - DAP dilihat semakin gusar
dan takut kepada kekalahan kerana mahu membentangkan undang-undang
antilompat parti November ini.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata,
perbuatan tersebut sebenarnya akan menyekat sistem demokrasi yang
diamalkan di negara ini.
Jelasnya, ini bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan
seperti mana yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Saya sendiri menentang dengan keras perbuatan melompat parti ini, ia
salah dari segi moral tetapi bukan undang-undang. DAP mungkin takut
akan kalah andai ada pemimpinnya lompat, terus mahu cuba kuat kuasa akta
tersebut.
"DAP mempunyai sejarah hitam beberapa tahun lepas apabila salah
seorang wakil rakyat bertindak melompat parti dan menyebabkan Barisan
Nasional (BN) kembali memerintah di Perak, mungkin ini buat mereka lebih
berhati-hati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad yang menyifatkan tindakan DAP Pulau Pinang mahu membentangkan
undang-undang antilompat parti sebagai satu bentuk penyekatan kebebasan
seseorang individu.
Menurut Tunku Aziz, DAP hanya boleh bercakap dan berharap dapat
menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam Perlembagaan kerana ia
adalah perkara mustahil.
"Mereka boleh merayu di mahkamah atau memujuk pemimpinnya dengan
mengatakan perbuatan itu adalah salah dari segi moral, tetapi untuk cuba
menggubal undang-undang itu adalah perbuatan sia-sia.
'Perlembagaan kita menyatakan parti politik tidak berhak untuk
mengenakan sebarang akta atau undang-undang yang boleh menyekat untuk
masuk atau keluar parti seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh
DAP," tegasnya.
Beliau juga percaya pemimpin yang keluar parti disebabkan tidak
berpuas hati dengan perjuangan parti masing-masing dan bukannya disogok
atau dibeli.
"Setiap rakyat di negara ini harus diberikan kebebasan untuk
melakukan apa yang dirasakannya betul seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan dengan mengenakan sekatan tertentu, ia seperti menarik hak
seseorang individu itu," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan