KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Naib Pengerusi DAP,
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng mempunyai keangkuhan luar biasa kerana memiliki kuasa dalam parti
selain menjadi Ketua Menteri.
Kata Tunku Abdul Aziz, beliau juga tidak percaya rakyat sanggup
menganggap Guan Eng seperti 'tokong' melainkan di kalangan penyokong
fanatik beliau sahaja.
"Ketika pengunduran saya daripada DAP baru-baru ini, Guan Eng begitu
angkuh dan kurang ajar apabila menggunakan orang lain sebagai medium
untuk bercakap dengan saya.
'Beliau merasa cukup bagus dan tak layak berinteraksi dengan saya
sehingga terpaksa menggunakan 'budak suruhan'," katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1,
Datuk Mansor Othman yang menafikan menggunakan perkataan 'sombong dan
angkuh' terhadap Guan Eng.
Bagaimanapun Mansor mengakui menggunakan perkataan 'tokong' sebagai
gelaran kepada Guan Eng yang bermaksud 'sanjungan tinggi dan
penghormatan rakyat Pulau Pinang kepada Ketua Menteri itu.'
Beberapa bekas pemimpin DAP sebelum ini turut menyifatkan DAP kini dipimpin oleh golongan yang sombong.
Berhubung tindakan Mansor itu, Tunku Abdul Aziz melahirkan rasa
kecewa kerana menyifatkan beliau tidak berani berhadapan dengan Guan
Eng.
Malah, beliau turut berkeyakinan terdapat 'rahsia' tersirat sehingga
menyebabkan Mansor menggelar Guan Eng sombong dan angkuh dan mencabar
Mansor mempertahankan kenyataan itu jika berasakan ia benar.
"Mengapa perlu takut dengan Guan Eng? Mengapa perlu melabelkan beliau seperti tokong.
"Janganlah bagi alasan yang tidak dapat diterima umum seperti ini.
Saya pasti Guan Eng tidak dapat menerima tamparan apabila Timbalannya
sendiri menggelarkan beliau seperti itu sehingga 'drama' penafian
tersebut terjadi," jelasnya.
Pada masa sama, Tunku Abdul Aziz menegaskan, sebagai seorang pemimpin
berkarisma Mansor seharusnya memiliki keberanian untuk berhadapan
dengan apa jua situasi.
"Beliau harus lantang, mungkin beliau benar-benar menganggap Guan Eng
itu sombong, maka pertahankan sahaja apa yang sebetulnya, saya pasti
rakyat menghargainya termasuk mereka yang berada dalam pakatan
pembangkang," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan