SHAFIE Apdal (tengah) diiringi (dari
kiri) Sairin Karno dan Azman Ruslan semasa tiba untuk merasmikan
Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Keningau di di Dewan Sekolah
Menengah Ken Hwa, Keningau, semalam.
*****
KENINGAU 26 Ogos - Masa depan golongan muda dalam Barisan Nasional
(BN) amat cerah dengan peluang dalam pelbagai aspek terbuka luas untuk
mereka berikutan proses meremajakan UMNO akan terus menjadi antara
agenda penting dalam memartabatkan parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha itu
merupakan antara agenda penting parti di bawah kepimpinan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya yakin Perdana Menteri yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO akan
mengambil berat tentang perkara ini (meremajakan UMNO) kerana di dalam
hati sanubari beliau hubungannya amat kuat dengan anak-anak muda.
"Kita hendak pastikan bukan hanya kita mendengar suara mereka tetapi
juga penyertaan mereka dalam pilihan raya akan datang," katanya pada
sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda
UMNO Keningau di Dewan Sekolah Menengah Ken Hwa Keningau di sini hari
ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno; Exco
Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Keningau, Azman Ruslan dan
Ketua Puteri UMNO Keningau, Junaidah Sapri.
Menurut Mohd. Shafie, proses meremajakan parti merupakan satu perkara
yang penting dan perlu dalam UMNO bagi memastikan ia terus relevan.
Bagaimanapun, katanya, dalam melakukan proses itu mana-mana calon
muda yang dipilih haruslah diterima masyarakat dan tidak berlandaskan
populariti semata-mata.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses meremajakan UMNO dan BN yang
dilakukan secara berterusan jauh lebih matang daripada yang dilakukan
pakatan pembangkang.
Jelasnya, ini dapat dilihat apabila DAP masih mengekalkan Lim Kit
Siang dan Karpal Singh, manakala Pas pula masih dipimpin Datuk Nik Aziz
Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Mohd. Shafie mengingatkan golongan akar umbi khususnya
golongan muda supaya membuat pilihan yang betul dalam pilihan raya
nanti dengan berlandaskan kematangan, bukannya mengikut emosi
semata-mata.
Menurutnya, hanya BN yang terbukti mampu menjamin masa depan negara
dan rakyat berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan