2 Ogos 2012

Hasan setia bersama Pas jika dipimpin ulama, bersih parasit

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, beliau akan terus setia bersama parti itu jika ia masih dipimpin oleh ulama dan bersih daripada golongan parasit yang merosakkan parti.
Beliau juga akan memberi sokongan jika Pas masih menjunjung perjuangan asalnya iaitu menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud tanpa perlu bersifat 'akur' dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ujarnya, kesetiaan terhadap parti tersebut pudar selepas pilihan raya umum lalu apabila berlaku perubahan mendadak terutama setelah Pas mula bersekongkol dengan DAP dan PKR.
"Sekiranya Pas masih dipimpin oleh kepimpinan ulama yang bersih daripada golongan parasit yang merosakkan parti, nescaya saya akan memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi malah rela mati mempertahankannya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasan menjawab kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli dalam satu temuramah dengan portal berita Antarapos.com berhubung sebab pemecatannya daripada parti itu sebelum ini yang antara lain menyatakan bahawa Hasan dipecat kerana tidak lagi menyokong dasar parti.
Katanya, perubahan mendadak tersebut berlaku dengan pengaruh 'parasit' yang mempunyai bilangan majoriti dalam kepimpinan parti sehingga telah berjaya mengalih arah tuju Pas untuk disesuaikan dengan kehendak DAP dan PKR.
"Atas hasrat untuk ke Putrajaya juga, mereka sanggup mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam dan perlaksanaan hudud yang sejak lebih 60 tahun lalu diperjuangkan dengan air mata dan darah oleh pejuang-pejuang parti," katanya.
Hasan berkata, selama empat tahun berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri Selangor, beliau mendapati, ruang memperjuangkan Islam, Melayu serta institusi raja semakin menguncup dan perjuangannya untuk memartabatkan Islam di negeri itu bukan sahaja sering dipandang sepi, malah ditentang kepimpinan parti.
"Salahkah saya sebagai pimpinan dan ahli parti mempersoalkan hal-hal asasi yang berkaitan perjuangan parti? Salahkah saya membawa pengetahuan ahli-ahli Pas tentang wujudnya makhluk perosak yang saya namakan parasit dalam parti?
"Salahkah juga saya mengkritik tindakan makhluk perosak atau parasit yang sanggup mengikut telunjuk pimpinan DAP dan PKR atas hasrat menawan Putrajaya?," katanya.
"Kalau semua itu dikatakan salah, memang benar saya tidak menyokong dan mendokong dasar parti yang telah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya, malah rela pula bersekongkol dengan DAP dan PKR yang terang-terangan tidak pernah bersetuju dengan matlamat asal parti Islam itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Tiada ulasan: