ISU negara Islam dan hudud bagi Pas adalah isu hidup mati parti itu.
Isu penentangan negara Islam dan hudud daripada DAP adalah isu hidup
mati DAP. Kedua-dua isu itu adalah perkara dasar yang tidak boleh
dikompromi.
Walaupun Buku Jingga tidak memperuntukkan Negara Islam dan hudud
tetapi ia adalah strategi melunakkan hubungan dalam Pakatan walaupun Pas
dan DAP tahu bahawa pada hakikatnya baik DAP dan Pas mempunyai dasar
perjuangan yang tersendiri.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam respons terbaru mengenai tempelak
Karpal Singh tetap menyatakan bahawa sekiranya Pas menang, Negara Islam
dan hudud akan tetap dilaksanakan. Bermakna isu negara berkebajikan
tidak berbangkit dan ia tidak selari dengan semangat Buku Jingga.
Berbangkit dengan tempelak Karpal terhadap Nasruddin Hassan,
Nasruddin sedang hilang sasaran untuk berdebat. Dengan gopoh dia
mencabar sesiapa saja untuk berdebat. Hebat sangat bunyinya.
Isu yang berbangkit adalah tempelak Karpal terhadap kenyataan
Nasruddin mengenai isu Negara Islam dan hudud. Logiknya cabaran berdebat
itu harus ditujukan kepada Karpal. Mengapa orang lain dijadikan
sasaran.
Sinar Harian boleh menjadi penganjur. Penyokong Pas dan DAP boleh
hadir menyaksikan debat itu. Maka barulah diketahui hal sebenar
kedudukan isu.
Nasruddin menyebut - "Tidak perlu menggelegak di luar gelanggang.
Meraung di luar gelanggang merupakan yang kalah dan lemah". Garang
bunyinya kenyataan ini.
Apakah bila Karpal menempelak tanda Karpal menggelegak di luar
gelanggang. Gentar menghadapi Nasruddin. Saya tidak fikir begitu.
Bawalah Karpal ke gelanggang debat, baru tahu siapa yang bakal kalah dan
akan jadi lemah.
Ketua Pemuda tidak harus latah dengan tempelak. Semua orang tahu DAP
sejak dulu sehingga kini tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan
hudud. Kalau tidak masakan Karpal Singh pernah menyatakan "Langkah mayat
aku dulu" untuk melaksanakan Negara Islam dan hudud.
Pas menyebut ia masih dominan dalam Pakatan. Dominan maknanya
menguasai. Dalam isu Negara Islam mengapakah Pas tunduk dengan DAP dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam
muktamar yang terdahulu menyatakan konsep Negara Islam tidak ada dalam
al-Quran. Kenyataan yang pelik lagi ajaib.
Pengkaji ideologi politik tidak pernah meletakkan konsep Negara Islam
Pas dan konsep sosialis demokratik ala Malaysian Malaysia adalah
serupa. Konsep dan semangatnya ibarat bumi dengan langit. Yang satu ada
roh dan yang satu lagi amat sekular dan humanis.
Pas janganlah jadi seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Kalau Pas benar-benar dominan bertandinglah dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU13) sendiri-sendiri tanpa mengharap dukungan DAP yang anti
negara Islam dan hudud untuk sampai ke Putrajaya. Ini barulah gentleman.
Tapi Abdul Hadi pernah menyebut suatu ketika dulu Pas tidak akan boleh
memerintah Malaysia melainkan dengan dukungan bersama orang bukan Islam.
Tetapi bukankah orang bukan Islam dalam DAP yang anti Negara Islam dan
hudud.
Bayangkan kalau ada keberanian Nasruddin berdebat dengan Karpal
(penulis tidak fikir dia berani) orang yang paling cemas ialah Datuk
Seri Anwar Ibrahim. Mengenali Karpal dan sikap gopoh Nasruddin, apa
sahaja boleh berlaku.
Anwar tidak mahu menjelang PRU13, isu negara Islam dan Hudud
berbangkit semula. Buku Jingga sepatutnya sudah mutlak menjadi pedoman
semua warga Pakatan. Tetapi Nik Aziz dan Abdul Hadi tidak boleh berdiam
diri. Kalau tidak penyokong Pas akan menjadi keliru dan celaru ke mana
arah tuju perjuangan Pas sebenarnya.
Anwar akan jumpa Nik Aziz lagi supaya jangan lantang mengenai Negara
Islam dan hudud atau menasihatkan Nasruddin janganlah berdebat dengan
Karpal. Selama bila Nik Aziz dan Nasruddin boleh akur dengan bisikan
Anwar.
Kalau Nik Aziz terus bertegas kerana itulah sumber pengaruh Pas dan
Nasruddin mahu juga berdebat kerana mahu memperlihatkan rasa dominan
yang tinggi, itulah tanda retak menunggu belah dalam Pakatan Rakyat.
Perjuangan Pas sepatutnya adalah perjuangan kebenaran. Lantaran terpaut dengan lambaian Putrajaya soal prinsip diketepikan.
Rasullullah SAW dalam memperjuangkan yang haq menolak tawaran kuasa
dan pangkat. Inilah asas keberkatan yang diwarisi sehingga kini.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan