KUALA LUMPUR 4 Ogos - Perang terbuka antara Pas dan DAP berhubung
isu hudud semakin parah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar)
menegaskan parti itu akan menentang habis-habisan sebarang cubaan
melaksanakan hukum tersebut jika pembangkang menang pilihan raya umum
akan datang.
Malah di sebalik dakwaan pemimpin Pas kononnya DAP kini menerima baik
hukum hudud, Karpal dengan lantang menegaskan DAP kekal dengan
pendirian tidak akan sesekali mendokong hasrat Pas yang baru mengubah
dasar perjuangan kepada negara berkebajikan untuk mewujudkan negara
Islam.
Serentak dengan itu, beliau berkata, DAP tidak akan sesekali
menawarkan diri berunding dengan Pas mengenai pelaksanaan hukum hudud
tersebut.
Pas harus sedar hudud tidak dimasukkan dalam Buku Jingga, iaitu
perjanjian dasar bersama pakatan pembangkang. Saya juga boleh memberi
jaminan ia tidak akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya pakatan
pembangkang kerana DAP tidak akan membenarkan ia berlaku selaras dengan
dasar parti kami.
DAP tidak akan berganjak daripada pendirian ini sejak penubuhan
parti iaitu tidak bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan hukum
hudud kerana ia tidak sesuai dengan negara berbilang kaum dan agama
seperti Malaysia," katanya sebagaimana disiarkan dalam laporan Buletin
Utama TV3, di sini malam ini.
Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan kononnya DAP kini memahami
dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera
disanggah Karpal yang menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur
mengenai pelaksanaan hukum tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan