DALAM sesebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi, hak
bercakap, hak bertindak, hak membuat sesuatu pendirian dan hak berhimpun
sememangnya dijunjung dengan peruntukan perundangan negara yang
melindungi hak-hak tersebut.
Namun demikian hak-hak itu bukan semata-mata dilindungi dan terikat
kepada sesuatu undang-undang negara, sebaliknya terikat juga dengan
tamadun yang melindungi sesuatu negara bangsa serta undang-undang itu
sendiri.
Ahli masyarakat sesebuah negara bertamadun (ada yang suka
menyebutnya sebagai masyarakat sivil dan ada pula yang menyebutnya
masyarakat madani) banyak menguruskan diri mereka sendiri dan
mengurangkan pergantungan kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh
alat-alat negara.
Jika berlaku pertindihan kepentingan antara individu atau antara
kumpulan dalam masyarakat mereka memilih untuk menyelesaikan sesama
sendiri secara bertamadun. Apakah cara bertamadun itu?
Di sinilah letaknya adab atau etika hidup dalam sesebuah negara
bertamadun. Setiap ahli bebas melakukan apa saja untuk menunaikan
kepentingan mereka namun beberapa prinsip mereka pegang sebagai prinsip
hidup peribadi dan prinsip hidup bermasyarakat.
Sambil setiap individu bebas mempunyai prinsip hidup tersendiri, ada
pula prinsip yang dipersetujui bersama secara sejagat bagi menentukan
kepentingan individu dan kepentingan orang ramai terpelihara.
Antara prinsip adab universal yang utama ialah prinsip tidak
menyakiti atau mendatangkan kesakitan kepada orang lain. Individu bebas
melakukan apa sahaja tetapi dia hendaklah dibataskan oleh adab tidak
mendatangkan kesakitan.
Jika dia mendapati tindakannya bakal menyakiti orang lain maka dia
hendaklah membatalkan hasratnya. Prinsip selanjutnya ialah prinsip
tindakan membawa kebaikan.
Apabila individu hendak meluaskan ruang kepentingannya sehingga
bertindih dengan ruang-ruang kepentingan orang lain, dia hendaklah
memastikan pertindihan ruang itu (contohnya berkomunikasi dengan/atau
memberi sesuatu kepada orang lain) bakal membawa kebaikan kepada
kedua-dua pihak, bukan sepihak sahaja.
Prinsip terpenting yang lain ialah prinsip keadilan. Ahli masyarakat
bertamadun sangat menghormati keadilan. Keadilan bukan bererti sama
rasa dan sama rata, sebaliknya ialah memberi layanan dan hak yang
berbeza kepada individu yang berbeza bersesuaian dengan kedudukan dan
kepentingan individu itu. Disebutkan bahawa keadilan ialah to treat
equal equally and unequal unequally.
Namun, ahli-ahli adab berkata apabila berlaku konflik antara prinsip
adab, maka orang beradab akan meletakkan prinsip tidak menyakiti orang
lain pada kedudukan paling hadapan.
Kesakitan
Maksudnya, jika seseorang itu hendak membuat kebaikan atau
menegakkan keadilan tetapi pada yang sama dia akan menyebabkan kesakitan
kepada orang lain maka dia akan membatalkan hasratnya membuat kebaikan
dan menegakkan keadilan yang bakal mendatangkan kesakitan itu.
Prinsip mendahulukan kepentingan tidak menyakiti orang lain ini
menjadi penyemak sangat kuat kepada idea-idea menarik yang dijana oleh
individu sesebuah masyarakat bertamadun yang boleh membawa mudarat dan
bakal menghancurkan sesuatu tamadun itu sendiri.
Antara contoh kemasyarakatan yang pernah berlaku di rantau ini dan
negara Malaysia sendiri ialah keinginan penganut fahaman komunis yang
ingin menegakkan keadilan untuk rakyat miskin dan mengemukakan cara yang
pada mereka baik melalui penyebaran ideologi tetapi kedua-dua idealisme
itu dilaksanakan melalui cara yang menyakiti orang lain seperti
melakukan kekerasan, pembunuhan dan sebagainya.
Sebarang tindakan menyakiti tentulah akan dibalas dengan tindakan
menyakiti oleh pihak yang disakiti juga. Keadaan itu akan menyebabkan
keseluruhan masyarakat itu mengalami kesakitan.
Dalam dunia intelektual pula, pernah terdengar bagaimana segolongan
ahli ilmu atau ulama agama menggunakan kuasa pengaruh menyakiti
segolongan lagi yang tidak sealiran dengan mereka sehingga buku-buku dan
kitab dibakar oleh pihak berkuasa demi menegakkan apa yang baik kepada
mereka dan atas nama menjaga keharmonian masyarakat beragama yang
bunyinya sangat mulia.
Dalam konteks semasa dan dengan menggunakan panduan prinsip yang
telah dihuraikan ini, jika ada seseorang atau sekumpulan pemimpin
politik atau masyarakat yang menyerukan pembinaan masyarakat madani,
orang awam boleh dengan segera mengesan sama ada pemimpin itu hidup
sepenuhnya dengan prinsip masyarakat madani yang telah disebutkan di
atas.
Masyarakat madani tidak boleh ditegakkan dengan cara yang menyakiti
dan menimbulkan kesusahan kepada orang awam. Apa yang berlaku di Mesir,
di Libya, di Iraq dan sekarang di Syria yang dipanggil Arab Spring belum
tentu boleh dijadikan model yang baik menuju pembinaan masyarakat
sivil.
Lihatlah bagaimana cara Nabi Muhammad SAW membawa prinsip manusia
madani sebaik Nabi SAW dan para sahabat menawan Mekah. Tiada orang yang
disakiti dan semua dendam dilupuskan.
Atas tanda-tanda ini masyarakat awam Malaysia sewajarnya dapat
membuat keputusan segera bahawa seseorang itu bukanlah seorang pendukung
kepercayaan pembinaan masyarakat madani yang tulen jika caranya
menyakiti awam, sebaliknya dia menjadikan seruan itu hanya sebagai suatu
slogan menjayakan sesuatu ideal atau ijtihad peribadi yang dia sahaja
tahu maksudnya.
Faedahnya nanti akan hanya untuk dirinya sendiri, bukan untuk ahli
masyarakat yang di ajaknya bersama. Di dalam facebook dan blog-blog
tentu ramai yang terhibur dengan buah fikiran yang pelbagai dan luar
biasa.
Namun kebebasan yang disediakan oleh karya teknologi itu tidak
semestinya bergerak ke hadapan seiring dengan karya-karya alat tersebut.
Isi kandungan bahan yang sangat menyakiti individu dan kumpulan
masyarakat disebarkan melalui medium teknologi paling baru.
Ini menjadikan masyarakat hidup dalam dunia teknologi paling ke
hadapan dan berterusan diperbaharui tetapi ada ahli masyarakatnya
berpatah balik ke belakang dan hidup dalam masyarakat barbarik.
Bahan, perkataan dan istilah-istilah yang menyakiti dicipta,
seolah-olah sama seperti manusia kuno zaman batu menyakiti haiwan
makanan yang disembelih dengan ketulan batu berbanding pisau ciptaan
termoden yang tajam untuk mengurangi kesakitan.
Merungut
Dalam hal di atas ada yang merungut dan menulis soal kenapa ada
penulis yang menghina pemimpin yang berlatarbelakangkan ilmu agama yang
tinggi sambil mereka juga tidak pula merekodkan jumlah keceluparan
pemimpin itu untuk tempoh yang panjang tanpa reaksi dengan darjah
keceluparan yang sama daripada lawannya.
Patutlah, bijaksana Melayu silam mencipta istilah seperti meludah
ke langit dan menepuk air di dulang. Patutlah juga, Tuhan melarang
seseorang Islam mencerca tuhan orang bukan Islam kerana perbuatan
mencerca tuhan orang lain itu akan menyebabkan Tuhan orang Islam
mendapat cercaan sebagai balasannya.
Sambil saya membuat telaah mengenai masyarakat bertamadun dan
masyarakat sivil ini saya mengikuti perkembangan persaingan antara Mitt
Romney dan Barack Obama yang sedang rancak di Amerika Syarikat pada
ketika ini.
Minggu lepas Romney membuat lawatan kerja bagi meluaskan hubungan
diplomatiknya ke Eropah. Romney ialah pemimpin pembangkang calon
Presiden Amerika Syarikat melawan Obama, Presiden yang sedang memegang
jawatan yang bakal bertanding mempertahankan jawatan.
Semasa berada di Britain Romney disoal oleh pelbagai media mengenai
banyak perkara termasuk pentadbiran Obama. Jawapan Romney amat menarik.
Katanya dia tidak akan sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia
berkunjung ke luar negara. Katanya, While I am on foreign soil, Im
very careful not to be critical of my own governments policies,"
(terjemahan: semasa saya berada di bumi bukan tanah tumpah darah saya,
saya amat berhati-hati terhadap dasar-dasar kerajaan saya).
Cuba perhatikan betapa semasa berada di luar negara, Romney
memberitahu orang yang tidak sebangsa dan senegara dengannya bahawa
kerajaan Obama itu ialah kerajaan dia juga dengan merujuk my own
governments policy.
Maksudnya dia menerima negaranya secara holistik - tanahnya,
warganegaranya/bangsanya dan kerajaannya dalam satu pakej di bawah
panji-panji negara Amerika Syarikat. Inilah contoh adab pemimpin
bertamadun (baca dalam konteks ini sahaja).
Sambil melakukan telahan itu saya menyingkap juga beberapa kenyataan
pemimpin Malaysia semasa berada di luar negara. Antaranya, Ketua
Pembangkang Malaysia yang dipetik oleh Todays Zaman pada 1 Ogos semasa
berucap di Turki menyatakan Turkey is a democracy. Malaysia is not.
Kemudian di sambungnya lagi dengan menjenakakan negaranya sendiri: I
often joke that in Malaysia we have freedom of speech, but not after
speech,".
Semasa membakar semangat warganegara Indonesia untuk benci kepada
kerajaan Malaysia pula bertempat di Jentera School of Law, Jakarta
secara implied beliau mengatakan kerajaan Malaysia melayan orang
Indonesia di Malaysia seperti binatang, katanya Do not send them home
as if they were animals.
Demikianlah perbezaan tanggapan terhadap adab di antara calon
penentang Presiden Obama dengan calon penentang Najib di Malaysia.
Warganegara Amerika Syarikat bakal memilih pemimpin mereka dan
warganegara Malaysia juga bakal melakukan yang sama di Malaysia.
Kedua-dua pemimpin yang menentang penjawat semasa di dua negara ini
menjunjung kebebasan bercakap tapi cara menggunakan kebebasan itu
berbeza nampaknya.
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan