BULAN depan, tepatnya pada 16 September sejarah politik Malaysia akan
terus mengingati hiruk-pikuk dan harapan palsu yang dicetuskan oleh
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada tarikh itu, sejarah mengingati Anwar telah gagal menunaikan
janji yang diuar-uarkan beliau ke seluruh pelosok dunia untuk membentuk
kerajaan. Malah sehingga sekarang selepas hampir empat tahun berlalu,
Kabinet bayangan pun masih belum nampak bayang lagi.
Ramai yang terpedaya dan kecewa dengan harapan palsu Anwar itu.
Mereka yang telah dijanjikan jawatan dan pelbagai ganjaran hanya
melopong kerana ternyata tersilap langkah. Mereka yang mencurah air di
tempayan setelah mendengar guruh Anwar menyesal tak sudah.
Mereka yang disebut-sebut bakal melompat parti untuk menyertai Anwar
semasa itu antaranya segerombolan Ahli Parlimen dari Sabah. Janji Anwar
bukan kepalang jawatan di Sabah dan juga Persekutuan.
Itu kisah 2008. Tetapi penahan kuasa Anwar rupa-rupanya masih ada
bisa. Nafsu kekuasaan tidak menjadikan drama politik 16 September itu
sebagai satu pengajaran kepada mereka. Selepas berbulan-bulan berunding,
akhirnya dua Ahli Parlimen BN iaitu Datuk Seri Lajim Ukin (Beaufort)
dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Tuaran) meletak jawatan dan berpaling
kepada pakatan pembangkang.
Berita
Susulan itu, Anwar membayangkan lebih banyak berita baik dari Sabah
akan berlaku. Ada nada suspen seperti dulu. Nada hiruk-pikuk Anwar ini
kelihatan sama menjelang drama 16 September dulu. Cuma mungkin ramai
yang sudah lupa termasuk Lajim dan Bumburing.
"Saya sudah maklumkan kepada pemimpin PKR dan DAP. Bukan Lajim dan
Bumburing saja, tetapi juga beberapa orang pemimpin lagi," kata Anwar
seperti dipetik portal berita propembangkang. Banyak spekulasi timbul
berhubung tindakan Lajim dan Bumburing ini. Lajim, 57, dikatakan kecewa
dengan kedudukannya sedangkan beliau disebut-sebut mengidam jawatan
Ketua Menteri.
Tentu banyak janji dan harapan yang dimuktamadkan dalam perbincangan
antara Anwar dan Lajim. Almaklum Anwar begitu terdesak untuk menawan
Putrajaya. Pilihan raya kali ini bakal menjadi percubaan terakhirnya.
Jika gagal lagi, beliau sudah memberi signal untuk bersara.
Lajim yang ditarik balik jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan dikatakan mendapat habuan jawatan Ketua Menteri.
Setakat ini sebagaimana dinyatakan Anwar, kedua-dua Ahli Parlimen itu
diberi jaminan kerusi sama ada PKR atau DAP.
Mampukah Lajim dan Bumburing menjadi pembakar semangat untuk
menjayakan cita-cita peribadi Anwar ini dan sekaligus mengucar-ngacirkan
negeri deposit BN itu? Mampukah kedua-duanya menjadi penyuluh jalan
untuk pakatan pembangkang memecah kubu BN?
Anwar telah gagal membawa parti pembangkang ke puncak kekuasaan pada
pilihan raya umum 2008. Seterusnya cubaan menerusi pintu belakang pada
16 September juga akhirnya menjadi bahan jenaka. Apa lagi muslihat yang
Anwar akan gunakan kali ini?
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dijadual ke Sabah pada 12 Ogos ini.
Kepada rakan-rakan sekutunya, Anwar meminta mereka bersiap sedia dengan
kemungkinan `baik itu.
Bagaimanapun BN khususnya UMNO tidak duduk diam walaupun menyifatkan
pembelotan Lajim dan Bumburing sebagai tidak menjejaskan kekuatan parti
itu. Kepakaran Anwar memanipulasi keadaan tidak boleh dipandang ringan.
Tetapi setakat ini pengaruh Lajim yang mempunyai sejarah lompat parti
dari Parti Bersatu Sabah (PBS) ke UMNO pada 1994, tidaklah seberapa.
UMNO Bahagian Beaufort tetap teguh, tidak terlihat seperti patah sayap.
Struktur parti berjalan dengan baik apabila timbalan ketua bahagian
mengambil alih jawatan yang ditinggalkan oleh Lajim itu. Setakat ini
perpecahan yang dikatakan berlaku di bahagian itu hanya dakwaan.
BN dan UMNO Sabah tentu sekali telah banyak belajar daripada
peristiwa 16 September. Mereka juga tidak harus lupa bagaimana permainan
licik Anwar semasa beliau berulang-alik ke Sabah ketika era keterujaan
beliau mengejar jawatan Timbalan Presiden UMNO dan kemudiannya Presiden
UMNO dulu.
Ingatkah janji-janji manis takhta dan harta semasa itu? Setelah
bertahun-tahun, Anwar tetap sahaja melakukan strategi dan permainan yang
sama. Beliau tahu keunikan politik Sabah. Tetapi yang berbeza, kali ini
beliau menghadapi lawan yang telah bersiap sedia dari awal. Yang juga
berbeza, Anwar sudah terlalu banyak melakukan kesilapan.
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan