NAJIB Tun Razak menyampaikan Anugerah
Inovasi Perdana Menteri 2011 kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN,
Robaayah Zambahari (tiga dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama
(dari kiri), Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief, Timbalan Ketua
Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Azhari Yaakub, Ketua Setiausaha Negara,
Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Zabidi Zainal. -
UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
*****
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Institut Jantung Negara (IJN) dinobatkan
sebagai penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 atas
kecemerlangan dalam bidang perubatan tempatan.
Anugerah berupa plak dan wang tunai berjumlah RM1 juta itu
disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari dalam satu
majlis di sini hari ini.
AIPM yang bermula sejak 2009 merupakan pengiktirafan perdana
terunggul kepada agensi serta jabatan yang berjaya menghasilkan sesuatu
perkara berimpak tinggi dan signifikan terhadap kesejahteraan rakyat
serta negara.
Pada majlis itu, Perdana Menteri serta para tetamu turut menyaksikan
pembedahan pintasan jantung dan 'angiogram' secara langsung dari bilik
pembedahan IJN oleh pakar-pakar pusat perubatan tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Robaayah ketika ditemui selepas majlis itu
bersyukur dengan penerimaan anugerah tersebut dan berharap ia akan
membuatkan IJN lebih dikenali di persada antarabangsa.
Katanya, dengan segala usaha penambahbaikan dan inovasi yang
dijalankan selama ini, para penghidap masalah jantung di negara ini
tidak perlu ke luar negara bagi mendapatkan rawatan.
"Kita telah dapat merawat banyak komplikasi dan yang terbaru ialah
ada pesakit yang sudah mendapat injap jantung baru tanpa perlu melalui
pembedahan iaitu injap tersebut dimasukkan melalui paha bagi
menggantikan injap yang sudah rosak," katanya.
Lebih manis, katanya, anugerah itu diterima ketika IJN merayakan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan institut tersebut.
Mendahului IJN dalam memenangi AIPM adalah Lembaga Hasil Dalam negeri
(LHDN) pada 2009 serta penerima bersama iaitu Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010.
Ia dianjurkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan
Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan