Najib Tun Razak bersama isteri, Datin
Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan para jemputan ketika hadir pada
majlis jamuan Hari Raya Kumpulan Felda di Menara Felda, Kuala Lumpur,
semalam. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN
*****
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak RM400 kepada
112,635 peneroka hasil daripada keuntungan penyenaraian saham Felda
Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dua bulan lalu.
Perdana Menteri berkata, pemberian dividen interim berasaskan kepada
nilai keuntungan 5.5 sen sesaham adalah hasil daripada dua bentuk
dividen yang diterima oleh pihak peneroka iaitu melalui 800 unit saham
dikhususkan kepada mereka serta Dana Amanah Peneroka.
''Pertama, mereka akan terima dividen melalui 800 unit saham yang
telah diperuntukkan kepada mereka dan jika kita hitungkan 800 unit saham
tersebut ia akan memberi pendapatan sebanyak RM44 iaitu selepas
didarabkan dengan 5.5 sen.
''Kedua melalui Dana Amanah Peneroka. Sebanyak 20 peratus yang
diperuntukkan di dalam dana ini dikhaskan untuk peneroka. Jumlahnya
adalah sebanyak 370 juta saham dan apabila ia didarab dengan 5.5 sen
bererti pendapatannya adalah sebanyak RM40.1 juta,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan
Hari Raya Aidilfitri warga Felda bersama Perdana Menteri di Menara Felda
di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor;
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan;
Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden
FGV, Datuk Sabri Ahmad.
Pengumuman ini sekali gus menangkis tohmahan pembangkang yang
menyatakan peneroka Felda akan kerugian berikutan penyenaraian tersebut
di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lepas.
Pembayaran dividen ini adalah tambahan kepada peneroka yang menerima
durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.
Harga saham FGV hari ini ditutup pada RM5.02 sesaham iaitu lebih tinggi daripada harga tawarannya RM4.55.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, daripada RM40.1 juta itu
setelah dibahagikan kepada setiap peneroka, setiap mereka bakal menerima
RM356.
''Sekiranya dicampur dengan pendapatan RM44, bererti melalui dividen
interim tersebut setiap peneroka akan menerima RM400. Ini merupakan
pendapatan dalam tempoh dua bulan sahaja sejak saham ini disenaraikan di
Bursa Malaysia,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, Perdana Menteri berkata, FGV dijangka membayar
dividen kepada semua pemegang sahamnya buat kali kedua pada akhir tahun
ini.
''Ini merupakan dividen interim. Insya Allah akan ada satu lagi
pengisytiharan dividen pada hujung tahun ini. Ini bermakna terdapat dua
kali pemberian dividen,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan yakin
pihak FGV mampu mencapai keuntungan seperti mana disasarkan iaitu
bersandarkan kepada prestasi memberangsangkan oleh pihak syarikat.
''FGV kini berada atas landasan dalam usahanya mencatatkan keuntungan seperti mana yang telah kita sasarkan,'' jelasnya.
Perdana Menteri dalam sidang akhbar sama turut mengumumkan keputusan
Felda memberi pinjaman tanpa faedah kepada semua peneroka bagi membantu
mereka memiliki 800 unit saham FGV.
''Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM360.7 juta. Dengan ini
para peneroka tidak perlu meminjam atau mengeluarkan duit sendiri untuk
memiliki saham ini. Mereka cuma dikehendaki membayar sebanyak RM50
sebulan sahaja sehingga selesai dijangka dalam tempoh lima tahun.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan