Najib Tun Razak melayani kanak-kanak
mengambil ais krim ketika beramah-mesra serta melayani pengunjung Rumah
Terbuka Perdana Menteri dan Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, semalam.
Dianggarkan lebih 100,000 orang menghadiri majlis itu dengan sajian
pelbagai juadah antaranya lemang, ketupat, rendang, sate, nasi minyak
dan aneka mi.
*****
PEKAN 26 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak
meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti
menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.
Perdana Menteri berkata, bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu
yang baik dan rakyat tidak harus meletakkan kepercayaan kepada pihak
yang menonjolkan diri mereka sebagai pilihan alternatif yang lebih baik.
Sebaliknya menurut Najib, mengekalkan kepercayaan kepada Barisan
Nasional (BN) yang selama 55 tahun terbukti memimpin negara dengan
membawa begitu banyak kemajuan adalah tindakan yang terbaik bagi
memastikan untung nasib rakyat terus terbela.
"Kita tidak boleh menukar kerajaan semata-mata kita berasakan sudah
sampai masanya kita buat perubahan kerana kita bukan nak perubahan
tetapi hendak sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
"Dan kalau kita berubah tak semestinya perubahan itu mengundang
sesuatu lebih baik. Kita tahu bahawa ada perubahan yang mengundang
kepada sesuatu yang kita tidak jangka, malah menjadi lebih buruk
daripada apa yang kita kecapi hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari
ini.
Najib menegaskan, rakyat mesti sedar bahawa bukan semua janji manis perubahan oleh pembangkang dapat ditunaikan.
Kata beliau, rakyat sebaliknya perlu berpegang kepada kerajaan hari
ini yang diketahui mampu membawa keadaan yang lebih baik lagi pada masa
depan.
"Kita jangan termakan hasutan atau janji manis pembangkang kerana
kita sudah tahu empat negeri di bawah pentadbiran mereka menyaksikan
banyak kekecewaan apabila banyak janji pilihan raya tinggal janji
semata-mata.
"Oleh itu, marilah kita menguatkan lagi semangat untuk terus berjuang
atas prinsip dan landasan yang telah terbukti membawa perubahan dan
kejayaan bermakna kepada rakyat," jelasnya.
Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut mengajak rakyat supaya
sedar bahawa tidak ada kerajaan di dunia ini yang mampu mengamalkan
dasar bantuan demi bantuan tanpa menjana kekayaan baru.
Katanya, mana-mana negara yang cuma memberi bantuan tanpa memikirkan
cara menjana kekayaan baru, maka ekonomi mereka akan merudum dan
menghadapi banyak masalah.
"Negara Eropah yang gagal jana kekayaan baru turut menyebabkan negara
maju menghadapi krisis ekonomi yang cukup berat hingga kadar
pengangguran mereka berada pada 45 peratus seperti Sepanyol yang handal
bermain bola sepak tetapi tidak dalam menguruskan ekonomi.
"Akhirnya rakyat akan menderita. Ini semua pengajaran kepada kita.
Kalau sudah ada sesuatu yang terjamin dan terbukti maka eloklah
dikekalkan kerana kita tahu boleh bergantung harap untuk memperjuangkan
untung nasib rakyat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan