BEBERAPA wakil NGO menyerahkan
memorandum kepada Mohd. Shahzihan Ahmad (tengah) di pekarangan pejabat
JAIS, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Siti Rohaizah Zainal
*****
SHAH ALAM 1 Ogos - Seramai 50 orang berhimpun
secara aman di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
hari ini bagi mendesak pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan tegas
terhadap pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam
masjid-masjid di negeri ini.
Mereka terdiri daripada wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) seperti Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Pertubuhan
Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Jalur Tiga (Jati), Ikatan
Kebajikan dan Dakwah Selangor, Waris Malaya, Tolak Individu Bernama
Anwar Ibrahim (Tibai) serta Gerakan Masyarakat Prihatin Selangor (GMPS).
Mereka yang mula berkumpul kira-kira pukul 10.30 pagi dan bersurai
kira-kira sejam kemudian hadir dengan membawa pelbagai sepanduk yang
antaranya tertulis perkataan 'Exco agama gagal', 'Bersihkan masjid
daripada pengaruh politik' serta 'Tuanku Sultan payung rakyat'.
Memorandum yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO berkenaan turut
diserahkan dan ia diterima oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAIS, Mohd.
Shahzihan Ahmad.
Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, masjid tidak seharusnya
dijadikan pentas politik kerana ia sebenarnya berperanan untuk
menyatukan umat Islam di negara ini.
"Dengan pengaruh politik seperti ini, ia dibimbangi akan
memecah-belahkan komuniti di dalam kariah surau berkenaan. Untuk itu,
sebagai agensi yang diberi kuasa untuk melaksanakan syiar Islam, JAIS
perlu lebih serius membuat pemantauan bagi melaksanakan syiar Islam
supaya masjid-masjid di negeri ini bebas daripada unsur politik,"
katanya kepada pemberita di sini.
Hadir sama Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahaya;
Setiausaha Agung Jati, Norman Toha; Pesuruhjaya Tibai Selangor dan
Wilayah Persekutuan, Wan Indera Putra Ahmad dan bekas Ketua Penerangan
Pas Selangor, Hasan Basri.
Hamidzun berkata, desakan mereka itu sejajar dengan ingatan Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang beberapa kali bertitah agar
masjid dan surau di negeri ini tidak dijadikan sebagai tempat
berpolitik.
Beliau berkata, semasa bertitah pada majlis berbuka puasa yang
diadakan di Masjid Negeri pada 23 Julai lalu, baginda sekali lagi
mengingatkan rakyat mengenai kepentingan perkara tersebut.
"Justeru, kami menggesa supaya JAIS mengambil tindakan tegas terhadap
mana-mana pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam masjid.
"Kami sendiri ada menerima beberapa aduan daripada sesetengah pihak
tentang wujudnya usaha membawa pengaruh politik ke masjid termasuk
menjemput ahli politik yang tidak bertauliah untuk menyampaikan tazkirah
di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan