KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dewan Pemuda Pas Pusat mengakui DAP tidak
menerima pelaksanaan hukum hudud selepas beberapa kali perbincangan
dibuat dan atas pendirian itu Pas tidak akan memaksa parti berkenaan
menerima undang-undang Islam tersebut.
Bagaimanapun Ketuanya, Nasrudin Hasan menegaskan bahawa DAP tidak
boleh menghalang Pas mendaulatkan syariat Islam di negara ini kerana ia
merupakan asas perjuangan parti itu sepanjang zaman.
"Saya akui hudud bukan agenda pakatan pembangkang tetapi ia adalah
sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh Pas sepanjang
zaman, insya-Allah.
"Selebihnya menjadi dakwah berterusan Pas untuk memahamkan masyarakat
terhadap hukum syariat Islam. Saya doakan semoga (Pengerusi DAP) Karpal
Singh diberikan hidayah oleh Allah SWT, sebagaimana doa saya buat yang
lain juga," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial
Facebook hari ini.
Karpal sebelum ini berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan
bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara
kebajikan manakala hukum hudud tidak termasuk dalam kerangka Buku
Jingga.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasrudin mengakui ketika diadakan debat Sinar Harian baru-baru ini, beliau telah memetik kenyataan Karpal, "langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan negara Islam.
"Saya telah quote kenyataan Karpal ketika diadakan Konvensyen
Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada tahun 2010 yang lalu bahawa petikan
"langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan negara Islam sebagai ucapan
yang disebut 20 tahun yang lalu telah dipetik di luar konteks.
"Malah Karpal sendiri menyebut perkara ini boleh dibincangkan," katanya.
Dalam pada itu Nasrudin berkata, hukum hudud adalah undang-undang
jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah SWT dan sesiapa tidak
boleh menafikan. Ia merupakan satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh
sebuah pemerintahan Islam.
"Hudud adalah sebahagian daripada Islam yang diperjuangkan oleh Pas
sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan Pas bukan berpaksikan hudud
semata-mata.
"Sebaliknya paksi perjuangan Pas ialah Islam dan hudud itu sebahagian
daripadanya. Ditegaskan di sini bahawa Pas konsisten memperjuangkan
Islam," ujarnya.
Pemerintahan Islam itu pula katanya adalah terbentuk daripada mandat
Dewan Rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut
pemerintahan Islam tidak akan dapat dibina dengan baik.
"(Oleh itu) jika Pas menang bersendirian melalui mandat majoriti
rakyat yang diterjemah melalui peti undi, maka parti ini pastinya akan
melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang-undang
jenayah syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan
undang-undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.
"Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat
yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk Pas menang dan
membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang
diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil," katanya.
Atas asas itu juga Nasrudin berkata, UMNO perlu menyerahkan semua
kerusinya kepada Pas atau paling tidak bersama menyertai parti itu.
"Dengan itu, jumlah kerusi Pas atau muslim akan melonjak maksimum
kepada 130 kerusi Parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan Islam yang
bersedia mendaulatkan syariat yang adil, saksama dan telus.
"Penegasan ini saya buat kerana untuk Pas menyertai UMNO bagi
melaksanakan syariat Allah sukar menjadi kenyataan. Ini kerana Pas
pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu parti itu menyertai Kerajaan
Campuran bersama UMNO," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan