30 September 2012

Didakwa belum bayar RM96,000

KUCHING 26 Sept. - Identiti hartawan Sarawak yang dikatakan mengurus tempahan jet eksekutif untuk kegunaan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari pada pertengahan bulan lalu menimbulkan pelbagai spekulasi di negeri ini.
Antara nama yang disebut ialah seorang tokoh perniagaan berjaya yang rapat dengan Ketua Pembangkang itu, Datuk Sng Chee Hua.
Chee Hua adalah ahli politik veteran yang pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus dan Ahli Parlimen Julau selain dikaitkan sebagai individu di sebalik penubuhan Parti Pekerja Sarawak (SWP) baru-baru ini.
Bagaimanapun, anaknya yang merupakan Presiden SWP, Larry Sng Wei Shien sewaktu dihubungi Utusan Malaysia menyatakan rasa terkejut dengan isu jet eksekutif itu.
Sambil menjelaskan beliau tidak berhak bercakap bagi pihak bapanya, Wei Shien yang merupakan bekas Menteri Muda negeri berkata, sepanjang pengetahuannya, isu berkenaan langsung tiada kaitan dengan keluarganya.
"Saya tidak berhak bercakap bagi pihak bapa saya tetapi apa yang boleh saya katakan ialah isu ini merupakan satu berita bagi saya dan SWP tidak terlibat.
"Kalau boleh sewa sekalipun kenapa perlu menyewa untuk orang lain, baik kami sendiri yang naik," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, satu sumber dalaman memberitahu, lelaki yang menguruskan tempahan jet eksekutif tersebut kini menghilangkan diri apabila isu tersebut menjadi tumpuan masyarakat.
"Malah sewaan RM96,000 itu pun belum dibayar sehingga hari ini," dakwa sumber itu.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kos menyewa jet eksekutif selama dua hari untuk membawa Anwar serta beberapa pemimpin pakatan pembangkang ke Labuan, Sabah pada pertengahan bulan ini adalah RM96,000.
Kos tersebut meliputi semua caj termasuk bayaran juruterbang, jurutera dan perkhidmatan lain yang dikenakan syarikat Tjets Sdn. Bhd. (Tjets).
Laporan itu menyebut urusan tempahan jet itu dilakukan oleh seorang individu dari Sarawak.
/hwa: utusan.com.my | 27/9/12

Tiada ulasan: