NIBONG TEBAL 26 Sept. - Ketua Wanita UMNO, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil mempersoalkan kenapa Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim begitu takut dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng.
Katanya, Anwar juga perlu menjelaskan dakwaan sama ada beliau akan
menyerahkan kuasa mutlak kepada DAP untuk mentadbir Pulau Pinang kerana
perkara itu disifatkan terlalu berbahaya.
"Wanita UMNO ingin bertanya kepada Anwar mengapa beliau
terketar-ketar dengan Guan Eng dan membiarkan apa sahaja yang dilakukan
oleh Ketua Menteri termasuk isu PKR di Pulau Pinang.
"Wanita nak tahu sebab ramai rakyat di Pulau Pinang adalah pengundi
dan saya anak kelahiran Pulau Pinang. Kami nak tahu pasal apa Anwar tak
buat pembelaan atas apa yang berlaku sekarang," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Program Salam Sayang anjuran Wanita UMNO di Dewan
Perda, Sungai Acheh di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk
Zainal Abidin Osman dan timbalannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria dan
Ketua Wanita UMNO negeri, Zabariah Abdul Wahab.
Pada masa sama, beliau meminta Anwar memberi perhatian terhadap
projek pembangunan terutama perumahan untuk golongan miskin di negeri
ini.
Katanya, ini kerana kerajaan negeri pimpinan DAP itu terlalu memberi
tumpuan kepada projek pembangunan rumah mewah sedangkan golongan miskin
terpinggir.
Menurutnya, apa yang berlaku itu amat menyedihkan kerana rakyat
merungut sehingga golongan miskin terpaksa berhijrah ke Seberang Perai
untuk mendapatkan rumah.
Tambah beliau, ramai orang miskin di negeri ini menangis kerana rumah-rumah yang dibina mahal harganya.
"Di kawasan Balik Pulau ada cubaan untuk melaksanakan pembangunan
untuk orang kaya. Tak kan nak halau orang miskin kerana mereka ini nak
pergi mana," katanya.
Ditanya mengenai kemelut yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat
(PKR) di Pulau Pinang, Shahrizat berkata, beliau tidak nampak Anwar akan
membela Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman
yang mengundang kemarahan Guan Eng apabila mencerca Ketua Menteri itu
sebagai sombong dan angkuh dalam satu mesyuarat strategik PKR yang
dipengerusikannya.
Menurut beliau, bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Mohammad
Fairus Khairuddin sebelum ini pun menerima nasib sama apabila berdepan
dengan Guan Eng.
"Dan sekarang Datuk Mansor pula, apakah Anwar takut sangat dengan Guan Eng?
"Mungkin sebab Anwar sibuk nak pergi huru-hara, walhal dalam PKR
sendiri pada hari ini tidak terurus dan kita nampak Datuk Mansor
terkapai-kapai dan keseorangan," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan