KUALA LUMPUR 31 Ogos - Pelbagai pihak hari ini
mengecam tindakan Kerajaan Selangor sebagai biadab, kurang ajar dan
tidak mengenang budi kerana mengetepikan Sultan Selangor dalam sambutan
majlis kemerdekaan di peringkat negeri itu.
Mereka yang cukup marah dengan perbuatan tersebut menyifatkan
tindakan itu sebagai satu penghinaan secara terang-terangan untuk
menjahanamkan institusi raja-raja Melayu.
Berikutan itu, mereka menyeru rakyat Selangor supaya tidak lagi
berdiam diri sebaliknya menentang perbuatan biadab dengan menghukum
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada pilihan raya umum
nanti.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, perbuatan itu cukup melampau kerana ia bukan kesilapan kali pertama dilakukan oleh kerajaan negeri.
"Tidak mungkin Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor keliru
dengan majlis yang diadakan. Majlis kemerdekaan dan politik berbeza
pengertiannya.
"Kalau nama pun sambutan kemerdekaan, mengapa pula Sultan Selangor
dipinggirkan, sebaliknya memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan PKR Selangor mengetepikan Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sambutan Hari Kemerdekaan
Ke-55 peringkat negeri itu malam tadi.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani
yang mengesahkan perkara itu berkata, baginda tidak dimaklumkan secara
rasmi oleh kerajaan negeri itu mengenai sambutan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, perbuatan kerajaan negeri itu cukup melampau dan tidak boleh dimaafkan terutama oleh orang Melayu.
"Tindakan Abdul Khalid seolah-olah mahu menunjuk belang kerana
keberanian mengetepikan Sultan Selangor dalam satu majlis yang cukup
bermakna kepada negara.
"Beliau lupa agaknya tentang sejarah Malaysia, tanpa sultan sudah
tentu negara tidak akan mencapai kemerdekaan 55 tahun dulu," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini.
Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar
pula secara sinis mengucapkan 'syabas' kepada Kerajaan PKR Selangor
kerana memiliki keberanian luar biasa untuk bersikap kurang ajar dan
biadab terhadap Sultan Selangor.
Beliau berkata, tindakan itu jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan
negeri itu sanggup menderhaka kepada pemerintah tertinggi negeri itu
semata-mata untuk mencapai agenda politik mereka dan tidak perlu untuk
mereka-reka alasan tertentu selepas ini.
"Perbuatan kerajaan Selangor itu bukan sesuatu yang mengejutkan,
malah kami tidak berasa hairan kerana sebelum ini mereka 'mencipta
sejarah'. Tindakan mereka yang mengetepikan peranan sultan sebagai
'payung negeri' memang cukup biadab, melangkaui pemikiran orang waras,"
katanya.
Presiden Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi
turut berpendapat perbuatan kerajaan negeri itu sebagai satu penghinaan
kepada Sultan Selangor, apatah lagi ia membabitkan penganjuran majlis
rasmi.
Malah, katanya, tindakan itu seolah-olah memperlihatkan kecenderungan
kerajaan negeri itu untuk menafikan kepentingan dan peranan Sultan
Selangor dalam negeri tersebut.
Katanya, Abdul Khalid Ibrahim perlu membuat penjelasan penjelasan secara terbuka mengenai perkara itu kepada rakyat.
"Sama ada Menteri Besar wajar untuk memohon ampun kepada Sultan
Selangor, biarlah beliau yang menjawabnya. Tidak perlu desakan untuk
meminta maaf, lagipun ini bukan pertama kali tindakan mereka yang
menghiris hati sultan dan rakyat," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan