30 September 2012

Mansor mengaku dikhianati orang kepercayaan

PULAU PINANG 27 Sept. - Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman mengakui beliau dikhianati oleh orang kepercayaannya sendiri berhubung penyiaran rakaman suara menggelarkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai sombong, bongkak dan tokong.
Mansor berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada kumpulan itu yang terdiri daripada para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang meminta untuk bermesyuarat dengannya berhubung Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Ia mesyuarat dalaman dan ada soalan daripada mereka dan saya menjawab dengan cara itu.
“Bagaimanapun saya tidak sangka mereka melakukan perkara ini kepada saya," katanya seperti yang dilaporkan akhbar The Malay Mail hari ini.
Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, beliau memberi kepercayaan kepada kumpulan itu dan meluahkan isi hatinya ketika mesyuarat berlangsung.
“Perkara ini serius tetapi saya kena bergerak ke depan kerana kejadian itu biasa dalam politik," katanya.
Mansor sebelum ini terlibat dalam krisis dengan Guan Eng apabila didakwa mengkritik Setiausaha Agung DAP itu namun berdolak-dalik dengan mengatakan tidak pernah menyebut perkataan itu kecuali tokong yang dianggap sanjungan masyarakat Cina kepada Ketua Menteri itu.
Sementara itu, Guan Eng yang sebelum ini yakin Mansor tidak mengkritiknya memilih untuk mendiamkan diri selepas menyedari pengakuan Mansor seperti yang disiarkan akhbar berkenaan.
Sikapnya itu jelas apabila Guan Eng tidak mengadakan sidang akhbar selepas beliau merasmikan Seminar Pengurusan Bangunan Bertingkat di Padang Kota di sini pagi ini.
Pada tengah hari pula, Guan Eng bergegas meninggalkan majlis selepas menyedari kehadiran beberapa wartawan yang menantinya dalam satu program di Kampung Buah Pala.
Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata, Mansor perlu menunjukkan kematangan politiknya dalam hal tersebut dan menyatakan pendirian dengan jelas.
“Sebenarnya BN tidak mahu masuk campur dalam perbalahan mereka tetapi bila isu ini meletus, Mansor kenalah tunjuk keberaniannya.
“Dia kena ingat bahawa jawatan yang disandangnya ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan bukannya Setiausaha Politik Ketua Menteri yang boleh dipecat pada bila-bila masa," katanya selepas hadir Mesyuarat Mingguan Jawatakuasa Penyelaras BN negeri di sini.
/hwa: utusan.com.my | 28/9/12

Tiada ulasan: