MANA-MANA pemimpin yang menunjuk cara kehidupan
mewah yang keterlaluan sama ada pembangkang atau kerajaan boleh
menimbulkan rasa muak rakyat.
Rakyat akan membuat kesimpulan tersendiri apa yang mereka lihat.
Faktor paling besar yang merentasi pemikiran rakyat adalah persepsi.
Persepsi tak semestinya benar dan tak semestinya salah. Tetapi apa yang
dipercayai oleh rakyat.
Seorang penulis, Stan Moore menukilkan: "Hanya kerana kebenaran tidak
kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak
dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud".
Ini maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar
itulah yang dicakapkan. Jadi, persepsi harus ditangani dengan cermat dan
bijaksana oleh sesuatu pihak yang ingin menang dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 nanti.
Namun bagi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad
Hassan yang dikenali lebih cenderung melihat sesuatu itu dari luar kotak
fikiran biasa memberitahu kami bahawa kadang-kadang pandangan rakyat
tidak semestinya betul. Rakyat, katanya, boleh menyebabkan ada kalanya
para pemimpin terpaksa hidup berpura-pura.
"Sebab penghakiman rakyat tak semestinya benar. Rakyat kadang-kadang
suka melihat pemimpin naik kereta buruk, itu dianggap sebagai merendah
diri. Sedangkan itu sebenarnya bukan realiti yang sepatutnya ada pada
seseorang pemimpin.
"Seorang pemimpin harus mempunyai kereta yang baik, harus sampai
cepat pada sesuatu tempat, harus diberi kemudahan untuk melakukan
sesuatu kerana dia perlu hadir pada banyak tempat dalam masa yang terhad
dan perlu berjumpa dengan banyak rakyat.
"Rakyat harus memberi kelonggaran kepada pemimpin kerana dia punya tugas-tugas yang lain," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Perdana, Kuala Lumpur semalam.
Namun, Fuad mengingatkan jikalau pemimpin itu berlebih-lebihan dan tidak sederhana pun, rakyat tidak boleh menerima juga.
"Kita harus melihat terutama kelayakan yang ada pada seseorang
pemimpin. Kalau dia seorang PM (Perdana Menteri), yang sememangnya
menjalankan tugas berjumpa dengan rakyat sebanyak mungkin atas kapasiti
yang sah di sisi undang-undang selain kelayakan yang ada pada dia, maka
itu harus didengarkan.
"Oleh kerana itu kelayakan dia dan tidak boleh nak dibezakan bahawa
majlis itu adalah majlis parti atau kerajaan, kadang-kadang dia ada
sebabnya.Tugas-tugas rasmi PM harus diraikan serta dibenarkan
menggunakan keistimewaan yang ada pada dirinya kerana dia terpaksa
berjumpa dengan sebanyak mungkin rakyat dalam masa yang terhad. Dia ada
kelayakan yang sah.
"Tetapi kalau pemimpin tertentu yang menggunakan jet dalam saat dia
tidak punya kelayakan dan dia punya banyak masa untuk berjumpa dengan
rakyat, maka ini merupakan sesuatu yang menggambarkan sikap cetusan
kemewahan ataupun nikmat kemewahan yang ingin dirasakan yang sudah
dilihat oleh rakyat," kata beliau.
Fuad menarik perhatian bahawa ada insiden yang belum terlihat lagi
atau didengari oleh rakyat. Banyak kes di mana pemimpin berpura-pura di
depan rakyat tapi di belakang rakyat buat cerita lain. Contohnya, ada
pemimpin yang duduk kelas ekonomi dalam negara tetapi apabila keluar
negara, terus naik kelas pertama penerbangan.
"Ini menunjukkan apa? Dia nak mencipta imej supaya dilihat oleh
rakyat sebagai pemimpin rakyat. Bagi saya, ini suatu keadaan
berpura-pura. Apa yang sepatutnya ialah pemimpin menggunakan apa yang
dibenarkan. Itulah yang terbaik. Pemimpin tidak harus berpura-pura
selagi dia dalam lingkungan kelayakan yang dibenarkan," katanya.
Bagi beliau, pemimpin terbaik ialah yang sentiasa bersederhana. Hidup dalam bidang kelayakan mereka sendiri.
"Kalau mereka layak pandu Mercedes, mereka harus dibenarkan. Itu
kelayakan dia dan tiada siapa yang patut timbulkan rungutan dan dia
sepatutnya begitu.Bukan sahaja pemimpin, rakyat yang layak pandu
Mercedes pun patut guna. Kenapa kita harus menyamaratakan semua? Itu
bukan pandangan Islam. Itu pandangan golongan kiri, sosiolis dan
sebagainya. Semua mesti sama," katanya.
Yang penting, kata beliau, seseorang pemimpin mesti sentiasa menjaga
imej, peribadi, serta tanggapan rakyat pada dirinya sendiri.
Meningkatkan imej dan ikhlas dengan kehidupan diri kerana dia adalah
pemimpin yang dilihat untuk menjaga negara.
"Rakyat perlu dididik untuk melihat sesuatu mengikut kesahihan dan kelayakan," katanya.
Fuad bagaimanapun mengingatkan bahawa kajian pihaknya menunjukkan
imej parti UMNO tidak berada dalam keadaan yang baik pada pandangan mata
rakyat.
"Apa sebab? Hal demikian ini kerana imej UMNO itu diserang
bertubi-tubi oleh pihak pembangkang dalam isu kecil atau besar
melibatkan politik, ekonomi, peribadi dan sosial - yang kesemuanya
dilonggokkan kepada UMNO.
"Sama ada hal itu isu UMNO atau bukan UMNO, dilonggokkan dalam media
sosial dan media cetak oleh pembangkang. Dalam ucapan ceramah
pembangkang, semuanya 'dikambing hitamkan' kepada UMNO menyebabkan imej
parti pemerintah cukup buruk," kata beliau.
Cuma, kata beliau, sebahagian orang UMNO mengambil sikap tidak menjawab. Atau, menjawab dan mengambil sikap secara defensif.
Sedangkan dalam strategi politik apa yang harus dilakukan pihak UMNO
ialah parti itu harus menyerang pihak yang menyerangnya. Namun, oleh
kerana rekod UMNO yang telah lama memerintah, sudah tentu banyak cerita
lama yang memudahkan untuk diserang daripada parti baru yang memerintah
yang belum panjang track recordnya.
"Tetapi sebenarnya UMNO masih boleh menyerang sebab apa yang
dinamakan 'parti baru' itu terdiri daripada individu-individu lama yang
punya track record tersendiri.
"Rekod peribadi sama ada dalam parti yang baru atau parti lama patut
diambil kesempatan untuk dijelaskan oleh UMNO. Tetapi ia kurang diambil
kesempatan oleh pekerja parti yang memerintah," katanya.
Namun, kata Fuad, imej Perdana Mentei adalah lebih baik berbanding imej UMNO.
"Hal ini demikian kerana imej Datuk Seri Najib sudah diterima umum
oleh rakyat berbilang kaum. Dan banyak kajian menunjukkan secara
berbanding, ada semacam satu jurang antara imej Najib dengan UMNO.
Secara individu, beliau bekerja kuat untuk membentuk imejnya sendiri,
memperbaiki imejnya di kalangan orang muda, memperbaiki caranya untuk
bergaul orang muda, membuat 'tweet' dan bergaya sporting macam orang muda.
"Beliau bekerja bersungguh-sungguh sebagai seorang yang mempunyai
visi dan kreativiti dalam menguruskan negara, menunjukkan kesungguhannya
untuk berjumpa dengan semua kaum dan kumpulan masyarakat kita hari ini.
Menunjukkan bahawa boleh dilakukan usaha pemulihan imej sekiranya ada
langkah-langkah teratur untuk memperbaiki imej seseorang pemimpin itu
sendiri," kata beliau.
Apa pun, pemimpin UMNO di peringkat bawah, iaitu peringkat lapisan
kedua harus mengambil langkah sama dengan memulihkan imej ini dengan
membalas balik serangan yang dilakukan pihak tertentu terhadap UMNO.
Imej UMNO sekarang adalah baik tetapi boleh dipulihkan lagi dengan cara-cara tertentu.
Isu-isu yang bersifat peribadi harus dijawab oleh tuan punya badan
sendiri sama ada benar atau tidak sebelum dia dibantu oleh orang lain.
Jawab juga sama ada isu rasuah, skandal atau orang kaya berlagak
sombong. Dia harus menjawab mengubah cara dan membetulkan supaya dapat
dilihat oleh rakyat sebelum orang lain membantu. Sebab itu persepsi
perlu dijawab. Bukan semua persepsi salah.
/hwa: utusan.com.my | 27/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan