PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap kepada
warga Imam dan Jawatankuasa Masjid seluruh negara pada 19 Julai 2012 di
Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah menyeru para imam
agar bersama kerajaan menjayakan Program Transformasi Negara melalui
pendekatan Al-Islah. Pada hakikatnya islah atau perubahan ke arah
kebaikan ialah risalah para anbiya' dalam perjuangan membangun ummah
seperti dinyatakan dalam surah Hud ayat 11 yang maksudnya: "Aku hanya bertujuan melakukan Islah sedaya-upayaku..."
Dalam al-Quran perkataan yang berasal daripada kata dasar (so-la-ha)
diulangi sebanyak 169 kali. Ini membuktikan betapa penting pendekatan
Islah dalam perjuangan para Anbiya.
Perdana Menteri juga menekankan pelaksanaan pendekatan Islah yang
menyeluruh dalam segenap bidang pembangunan negara. Dan dalam konteks
perhimpunan itu, contoh yang paling dekat ialah usaha kerajaan
mengislahkan taraf kehidupan para imam dengan menaikkan elaun mereka
melepasi tahap kemiskinan.
Contoh yang dikemukakan itu walaupun pada zahirnya kelihatan agak
sederhana, namun jika kita meneliti nas syarak-syarak, ia merupakan
antara matlamat penting daripada program Islah yang dianjurkan oleh
Rasulullah SAW dan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah.
"Bukanlah yang dikatakan jihad itu orang yang menggunakan pedang
dalam perang jihad semata-mata; tetapi adalah termasuk dalam jihad juga
orang yang menanggung nafkah dua ibu bapanya; orang yang menanggung
nafkah anaknya, maka ia juga seorang yang berjihad; dan sesiapa yang
berusaha untuk menyara dirinya supaya tidak meminta-minta kepada
manusia, maka ia juga termasuk dalam pengertian jihad (riwayat Ibnu
'Asakir)"
Daripada riwayat-riwayat yang dipaparkan di atas, jelas bahawa
usaha-usaha kerajaan menjayakan program transformasi negara bagi
memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat adalah sebahagian
daripada jihad yang dituntut dalam Islam bagi mencapai maqasid al syariah atau matlamat yang disasarkan oleh syarak dalam kehidupan manusia.
Jika kita mengamati sirah Rasulullah SAW, kita dapati pendekatan
Islah secara menyeluruh telah dilaksanakan dalam proses pembentukan
negara Islam pertama di Madinah. Sebaik-baik tiba di Yathrib, antara
langkah awal yang diambil oleh Rasulullah ialah menukar nama tempat itu
kepada Madinah.
Ini kerana Yathrib mencerminkan corak kehidupan lama mengikut sistem
kabilah yang tidak memiliki daya maju dan tidak sesuai dengan pembinaan
umat yang memiliki tamadun yang tinggi. Ini berbeza dengan Madinah
(Bandar) yang menjadi asas kepada pembinaan dan perkembangan sesebuah
tamadun.
Nama baru ini begitu penting di sisi Rasulullah SAW sehingga mereka
yang masih menyebut Yathrib diminta beristighfar, seperti yang tersebut
dalam Hadis riwayat Imam Ahmad: "Sesiapa yang menyebut Madinah
sebagai Yathrib maka hendaklah ia beristighfar kepada Allah; ia adalah
nama yang baik, ia adalah nama yang baik".
Selain daripada aspek kerohanian - akidah, ibadah, akhlak yang
menjadi roh kepada kehidupan umat, maka pembangunan dalam aspek
kehidupan dunia juga diberi perhatian yang seimbang. Ini bukan sahaja
terjelma dalam tindakan tetapi juga dalam doa yang diajar oleh
Rasulullah SAW seperti doa berikut yang maksudnya:
"Ya Allah! Islahkanlah urusan agamaku yang menjadi penyelamat segala
urusanku, dan islahkanlah urusan dunia yang aku hidup di dalamnya."
(Riwayat Muslim).
Antara bidang yang diberi keutamaan oleh Rasulullah SAW dalam program
Islah di negara Islam yang pertama ini ialah aspek ekonomi. Ini
memandangkan ekonomi bukan sahaja menjadi nadi bagi kehidupan harian
umat, tetapi juga penting dalam pelaksanaan jihad bagi mempertahankan
negara dan dakwah, dan juga dalam urusan-urusan ibadah.
Ekonomi Madinah pada ketika itu seperti perdagangan dan perusahaan
dikuasai oleh orang Yahudi iaitu penduduk yang lebih awal menduduki
Yathrib. Bagi memecahkan monopoli Yahudi ini, Rasulullah SAW membuka
pasar baru bagi orang Islam. Baginda menyamakan peniaga-peniaga yang
berniaga di pasar ini sebagai seorang mujahid di jalan Allah.
Ini bermakna memiliki kerjaya adalah satu ibadah. Dan usaha kerajaan
mewujudkan pekerjaan adalah juga ibadah. Kerana setiap perkara yang
disukai oleh Allah adalah ibadah. Dalam bidang pendidikan Rasulullah SAW
mewajibkan umat Islam menuntut ilmu.
Memandangkan amat sedikit mereka yang tahu menulis dan membaca
sewaktu kedatangan Islam, maka antara langkah awal yang diambil ke arah
membina sebuah negara yang berteraskan ilmu ialah usaha membasmi buta
huruf.
Rasulullah SAW meminta sesiapa yang boleh mengajar supaya mengajar
orang lain. Tawanan Perang Badar yang mampu mengajar dibenarkan menebus
diri mereka dengan mengajar sepuluh anak orang Islam menulis dan
membaca. Rasullullah juga meminta para sahabat supaya mempelajari
bahasa-bahasa asing yang digunakan pada ketika itu seperti bahasa Parsi,
Rumawi, Qibti dan Hebrew.
Adalah jelas daripada apa yang dipaparkan di atas bahawa pendekatan
Islah yang syumul meliputi segenap bidang kehidupan yang dilaksanakan di
negara ini berpandukan hidayat dan contoh sepertimana yang diamalkan
oleh Rasullullah SAW ketika membangun Madinah sebagai sebuah negara
Islam.
Maka seruan Perdana Menteri agar para Imam bersama-sama dengan
kerajaan dalam menjayakan Program Transformasi Negara amat tepat dengan
kedudukan mereka sebagai pewaris dan penerus risalah yang dibawa oleh
para Ambiya. Ini juga selari dengan perintah al-Quran supaya umat Islam
saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan takwa (Al-Maidah 2).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan