BEBERAPA hari lalu bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan
Ali mendesak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya melepaskan jawatannya
sebagai Mursyidul Am Pas susulan kenyataannya mempertahankan kerjasama
Pas dengan DAP.
Beliau yang dipecat oleh parti awal tahun ini juga mendesak agar
jawatan itu diserahkan kepada Datuk Dr. Haron Din yang dikatakan lebih
berwibawa.
Dalam pada itu, seorang wakil rakyat Pas Kelantan secara halus turut
mahukan agar Nik Aziz melepaskan jawatannya kepada pemimpin lain yang
lebih sihat dan muda.
Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, ADUN Gaal
Dr. Nik Mazian Mohamed menasihatkan mana-mana pemimpin sudah tua dan
uzur agar melepaskan jawatan kepada mereka yang lebih muda dan kuat.
Persoalannya, mahukah Nik Aziz menuruti gesaan Hasan dan sindiran ADUN Gaal serta kehendak akar umbi Pas di Kelantan itu?
Blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot.com) pula
berkata, desakan-desakan seperti itu tidak akan menjejaskan sama sekali
kedudukan Nik Aziz malahan beliau akan terus dipertahankan oleh pemimpin
bawahan dan para penyokong parti.
Katanya, beberapa pemimpin Pas sudah menyuarakan pandangan bahawa Nik
Aziz tiada galang ganti dan menganggap desakan-desakan seperti itu
hanyalah sebagai satu propaganda politik.
"Pendek kata, seolah-olah bagi Pas, kedudukan Nik Aziz sebagai
Mursyidul Am parti itu sudah muktamad, tidak boleh dipersoalkan apatah
lagi dipertikaikan. Bunyi macam mereka mahu Nik Aziz kekal sampai mati
sebagai Mursyidul Am Pas."
Manakala blog Kita Gempur (www.kitagempur.com) dan MyKMU (www.mykmu.net) menganggap, pandangan Nik Mazian itu juga mewakili suara akar umbi parti itu, terutama di negeri Kelantan.
Blog itu berpendapat, Nik Aziz tidak mempedulikan desakan dan
sindiran sedemikian malahan beliau akan tetap bertanding pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) serta mempertahankan jawatan Menteri Besar jika
menang.
"Sebagaimana maklum, Nik Aziz memang degil, ego dan gilakan jawatan.
Dan disebabkan sifat-sifat itulah dia akan terus memegang jawatan dalam
Kerajaan Negeri Kelantan dan Pas sehingga ajal menjemputnya.
"Hakikatnya, banyak puak Pas khususnya di Kelantan sedang
tertunggu-tunggu persaraan Nik Aziz dalam masa terdekat disebabkan
ketidakupayaan Menteri Besar Kelantan itu melaksanakan tanggungjawabnya
sebagai ketua sebuah negeri," katanya.
Ketika ramai bercakap tentang jawatan Mursyidul Am Pas, tidak kurang
juga yang bertanyakan tentang cadangan kerajaan negeri Kelantan yang
mahu membina lebuh raya rakyat antara Kuala Krai dan Kota Bharu,
terutama dari segi jumlah kutipan derma setakat ini.
Blog Semut Hitam (semuthitam80.blogspot.com) berkata,
Nik Aziz ketika majlis pecah tanah pembinaan 'lebuh raya rakyat' itu
menyebut bahawa membina jalan seperti itu akan mendapat pahala dan
meminta rakyat turut sama menyumbang bagi tujuan itu.
"Sekarang Menteri Kerja Raya sudah mendedahkan bahawa (kerajaan) Pas
Kelantan tidak pernah membuat permohonan berhubung pembinaan lebuh raya
itu. Apa pula mereka akan katakan?
"Andai kata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya
bersetuju untuk membina lebuh raya itu, apa yang rejim Pas Kelantan mahu
katakan?
"Tapi persoalan yang lebih besar mereka perlu jawab ialah apa akan
jadi dengan duit derma yang telah diberikan oleh rakyat sebelum ini?"
katanya.
Blog ini turut mempersoalkan kedudukan wang sumbangan tersebut
memandangkan semua sumbangan tidak direkodkan dengan jelas dan ia juga
tidak diauditkan.
"Jadi, jangan hairanlah kalau duit-duit itu semua hilang dalam poket puak-puak Pas ini...," katanya.
KEMBALINYA SHAHNON AHMAD
BARU-BARU ini ahli Pas seumur hidup yang juga Sasterawan Negara,
Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad menyuarakan pandangannya
berhubung keadaan Pas hari ini yang dikatakan sudah berubah apabila
tunduk kepada DAP.
Pandangan bekas Ahli Parlimen Sik itu pantas dijawab oleh para
penulis blog pembangkang yang melabelkan Shahnon sebagai orang tua yang
sudah nyanyuk dan tidak kurang juga yang mendakwa kenyataan tersebut
dibuat atas desakan pihak lawan.
Bagaimanapun, Dr. Ismail Ibrahim (drismail.blogspot.com)
menilai kenyataan Shahnon itu penuh ikhlas dan berterus terang agar
senario politik pincang dan merugikan umat dan bangsa itu harus
dikembalikan ke pangkal jalan dengan segera selepas beliau memulihkan
jasad dan jiwanya.
"Dalam konteks kembalinya Shahnon ke dalam arena bangsa dan negara
kita, saya merasakan bahawa ramai lagi teman dan kawan kita yang telah
membebaskan diri mereka daripada perangkap politik sempit dan fanatik,
yang mungkin hanya bercakap dalam sepi dan sunyi, tidak seperti Shahnon
yang kembali berbicara secara lantang dan berani.
"Inilah sebenarnya sifat pejuang dan pahlawan, yang bukan hanya
berada dalam kepompong seni sasteranya yang sempit, tetapi dalam arena
perjuangan bangsanya yang lebih besar dan lebih bermakna," kata Dr.
Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan