Masyarakat Islam di Mindanao
mengibarkan bendera hijau sebagai menyokong dan meraikan kerangka
perjanjian damai yang dimeterai dengan kerajaan Filipina minggu lalu.
*****
COTABATO 22 Okt. - Usaha kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak membantu mendapatkan wilayah autonomi bagi
Bangsamoro telah diketahui sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan lagi.
Seorang pemimpin berpengaruh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di
Basilan, Billamin Turabin Hasan berkata, namun masyarakat Bangsamoro
tidak menyangka Najib tetap meneruskan pelan mendamaikan MILF dengan
kerajaan Filipina apabila menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin
tertinggi Malaysia hari ini.
Menurutnya, disebabkan peranan Malaysia dan Najib itu, masyarakat di
wilayah autonomi Bangsamoro hari ini begitu menghormati, kagum serta
terhutang budi terhadap Malaysia dan rakyatnya.
"Secara peribadi dan mewakili lebih 5,000 masyarakat Pulau
Tapiantana, kami seakan tidak percaya apabila Najib tidak pernah
melupakan nasib masyarakat Islam di sini dengan berusaha sekian lama.
"Sebab itu juga, masyarakat Bangsamoro tidak melayan suara sumbang
yang mempertikaikan peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam
menyelesaikan konflik selama 40 tahun itu kerana kami tahu
kebenarannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Billamin Turabin memberitahu, masyarakat Bangsamoro akan menganggap
Najib sebagai wira jika rangka kerja damai itu dapat membawa kepada satu
perjanjian muktamad terhadap wilayah autonomi Bangsamoro pada 2015.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bangsamoro juga masih menagih bantuan
daripada Malaysia untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar dari segala
aspek selepas ini bagi membangunkan wilayah autonomi tersebut.
"Selepas berperang selama lebih 40 tahun, kepulauan Basilan,
Tapiantana dan Selainya kini berada dalam keadaan pemulihan, dan dalam
hal ini kami sangat memerlukan tunjuk ajar dan bantuan daripada
Malaysia.
"Kami memerlukan satu transformasi dalam tempoh terdekat bagi
membentuk perjanjian muktamad untuk wilayah autonomi Bangsamoro agar
menjadi bukti kepada kerajaan Filipina bahawa kami mampu mentakbir
wilayah itu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan