Penjaja Padang Kota Lama, Georgetown
yang terdiri daripada orang Melayu meluahkan perasaan marah dan kecewa
terhadap kepimpinan DAP di Pulau Pinang, September lalu. - Gambar hiasan
*****
Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, mencabar
jika benar DAP sebuah parti pelbagai kaum, parti itu dipelawa bertanding
di kawasan Melayu.
"Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP. Mereka mendakwa
kononnya bersikap demokratik tetapi adakah mereka lebih demokratik
daripada kami (Barisan Nasional).
"Saya setuju dengan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. DAP hanya
memperjuang satu kaum sahaja dan jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz
(Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda (wajah sebenar
DAP)," kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional semasa berucap
merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-59 di Wisma MCA, Ahad lalu.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia (30 September lalu), Tunku
Abdul Aziz mengaku telah melakukan satu kesilapan besar dalam hidupnya
kerana menyertai parti politik apatah lagi DAP.
"Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar.
"Mereka telah memberi gambaran jelas kepada saya bahawa mereka bukan
demokratik. Pada awalnya, saya fikir mereka adalah sebuah parti
demokratik tetapi itu bukanlah satu kebenaran.
"Kononnya mereka mengamalkan budaya kebebasan bersuara.
Macam-macamlah mereka kata seolah-olah mereka juara dalam semua perkara.
Semua yang dikatakan hanyalah retorik semata-mata. Apabila berhadapan
dengan realiti, mereka tidak lakukan apa yang mereka cakap sebelum ini.
Itulah parti DAP.
"Lihat sahaja contoh Datuk Mansor (Timbalan Ketua Menteri II),
kononnya kebebasan bersuara adalah dibenarkan dalam DAP. Betulkah?
Sehingga paksa untuk menafikan apa yang diperkatakan," kata Tunku Abdul
Aziz.
Beliau juga menjelaskan hakikat sekiranya orang Melayu yang menyertai
DAP merasakan parti tersebut akan membela nasib mereka dan Melayu,
mereka salah. Sehingga kini, tidak ada bukti yang DAP telah dan akan
memperjuangkan nasib orang Melayu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sehingga hari ini enggan
memberi penjelasan berhubung tindakan kerajaan DAP negeri itu tidak
membelanjakan wang dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah
RM33.36 juta.
Jika peruntukan itu digunakan sekurang-kurang ada juga projek
perumahan kos rendah untuk golongan bumiputera berpendapatan rendah
membelinya. Dan bukan kerajaan negeri itu bertindak melayan permintaan
pemaju untuk membina rumah mewah yang harganya jauh daripada kemampuan
bumiputera.
Melayu memang sudah muak dengan mainan politik DAP. Beberapa Melayu
dalam DAP sedar bahawa parti itu hanya berminat untuk mempergunakan
sentimen kemelayuan pemimpin Melayu dalam DAP sahaja. DAP cuma mahu
mempergunakan Melayu untuk memancing undi orang Melayu.
Lebih membimbangkan ialah sikap DAP anti-Islam dalam banyak perkara.
Isu penghinaan pemimpin DAP terhadap agama Islam masih belum ada
tanda-tanda berakhir. Parti itu lupa Melayu dan Islam sukar dipisahkan.
Dalam perjuangan DAP tidak ada sebarang agenda Islam. Ketegasan
Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa partinya akan menentang habis-habisan
sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada
pilihan raya umum akan datang adalah kenyataan biadap dan tidak
menghormati perjuangan politik sekutunya - orang Melayu dalam Pas.
Sudah menjadi amalan DAP untuk mempolitikkan semua perkara tetapi
tidak mungkin hal-ehwal perjuangan membina negara Islam pun DAP mahu
masuk campur. Jika dilaksanakan pun, orang bukan Islam tidak terlibat
dalam hukum hudud.
"DAP sering memperlihatkan sikap rasis dalam banyak perkara
terutamanya perkara berkaitan agama dan kepercayaan. Janganlah kita
terpengaruh dengan janji manis mereka yang kononnya turut berjuang untuk
orang Melayu," kata Tengku Abdul Aziz.
Beliau menasihatkan orang Melayu bangkit dan sedar sebelum terus
dipergunakan oleh pemimpin DAP. Hakikatnya umat Melayu perlu melihat
keangkuhan serta perjuangan sebenar DAP dan sokongan kepada parti itu
wajar dihentikan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali baru-baru ini berkata, orang Melayu dalam DAP hanya hiasan sahaja.
Amalan mereka sejak dahulu tidak menghormati asas Perlembagaan dan
bersifat cauvinis serta sentiasa bermain api perkauman bagi mengekalkan
sokongan orang Cina.
Orang Melayu yang masih berada dalam DAP atau menyokong parti itu
perlu sedar mengenai perkara yang diberitahu Tunku Abdul Aziz supaya
kedudukan dan hak Melayu tidak dipermainkan.
Lihatlah bagaimana DAP dan PKR berjaya memesongkan perjuangan asal
Pas untuk membina negara Islam dan bertukar kepada perjuangan negara
berkebajikan.
Melayu dalam Pas juga perlu sedar, sebenarnya mereka melakukan kerja
sia-sia termasuk menganjurkan Himpunan Hijau menuju ke Putrajaya kerana
pada akhirnya parti paling dominan dalam pakatan pembangkang ialah DAP
yang jelas menentang Islam. Matlamat kerjasama Pas dengan DAP dan PKR
hanyalah untuk menang kerusi sahaja.
Menurut pemerhati politik, Datuk Hashim Suboh, politik Malaysia telah
kehilangan nilai. Pemimpin dan parti politik semakin tidak demokratik
dan menyalahgunakan makna demokrasi. Sementara serangan terhadap
Perlembagaan Persekutuan dilakukan secara berterusan dan semakin
melampaui batas.
"Asas kenegaraan yang telah diinstitusikan sejak merdeka juga
diserang seolah-olah kita sedang bergelut untuk memerdekan negara dan
bukannya berada di era untuk mengisi, memberi makna serta mempertahankan
kemerdekaan Malaysia tercinta ini.
"Sementara semangat federalisme semakin dicerobohi, intipati utama
Perlembagaan Persekutuan yang memberikan jaminan terhadap hak-hak setiap
rakyat Persekutuan di samping memahatkan dengan jelas kedudukan Agama
Islam, Raja-Raja Melayu dan Bangsa Melayu serta Bumiputera juga tidak
terlepas daripada serangan secara langsung dan tidak langsung," kata
Hashim.
Beliau melihat dalam keghairahan sama ada untuk mempertahan atau
untuk merebut kuasa, pemimpin Melayu Islam kini sedang berebut
menawarkan kompromi dengan menjadikan beberapa paksi utama Perlembagaan
Persekutuan itu sebagai barang gadaian dalam 'karnival melelong masa
depan' yang dinamakan sebagai Pilihan Raya Umum Ke-13 itu.
"Komponen dan institusi kenegaraan wajar tampil dengan tegas untuk
melakarkan garis merah supaya politik dan pertarungan politik tidak
melampaui batas. Masanya sudah terlalu hampir. Riak dan suasana sudah
bergerak dengan pantas ke awan hitam yang suram dan menggetarkan itu,"
kata Hashim.
Hal itu perlu diberi perhatian. Persoalannya, beberapa tindakan
pemimpin DAP telah melukakan dan mengguris hati orang Melayu. Sampai
bila orang Melayu mahu membiarkan kedudukan bangsa Melayu diperlecehkan,
institusi Raja Melayu dipersoalkan dan agama rasmi Islam yang termaktub
dalam Perlembagaan pun dihina?
Tindakan itu belum mengambil kira peranan 'dalang' dalam kebanyakan
perhimpunan haram dengan tujuan jahat dan berbahaya kepada generasi muda
Melayu. Sedar atau tidak, DAP sering membaling batu tapi sembunyi
tangan.
Orang Melayu sudah banyak kali beralah. Namun ucapan maaf pun sukar didengari daripada mulut pemimpin DAP.
DAP telah pun berjaya menyampaikan isi hati mereka. Itulah pandangan mereka terhadap orang Melayu yang dituduh rasis.
DAP perlu diingatkan tentang batas-batas berpolitik. Sampai bila
orang Melayu dan bumiputera yang merupakan penduduk majoriti negara ini
perlu tunduk pada penghinaan kaum minoriti?
Berbeza sungguh di negara lain, golongan minoriti yang sering dihina
tetapi perkara sebaliknya berlaku di Malaysia. Lepas satu demi satu
penghinaan terhadap orang Melayu/Islam dilakukan. Yang menghina pula
terdiri daripada kaum minoriti.
Sebagaimana kata Najib, orang Melayu sudah muak. Penghinaan terhadap orang Melayu dan Islam sudah melampau.
Sebagai penduduk majoriti, orang Melayu dan umat Islam lain di negara
ini perlu bersatu. Jangan biar bangsa Melayu terus dihina dan
diperkotak-katikkan.
Paling penting, jangan biar DAP yang bersifat rasis ini menggugat kesejahteraan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121023/re_01/Melayu-muak-penghinaan-DAP#ixzz2ABYmlmLP
© Utusan Melayu (M) Bhd | 23/10/12, hwa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan