SEJAK kebelakangan ini dalam kehangatan merentasi
pecutan akhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), ramai yang mula
menyuarakan kebimbangan sekiranya segala persediaan dan yang dilakukan
sejak pasca PRU 12 pada 2008 akan tercemar dengan masalah yang dihadapi
dalam hampir kesemua PRU iaitu masalah dalaman parti.
Dalam PRU 12, rata-rata perubahan calon di saat-saat akhir
menyebabkan jentera parti tidak berfungsi dan kemarahan serta kekecewaan
diterjemahkan dalam bentuk pengundian. Maka, 'undi protes'
besar-besaran dilakukan oleh ahli dan penyokong tegar parti kerana mahu
menyedarkan kepimpinan bahawa zaman untuk mengikut apa sahaja ketetapan
yang dilakukan oleh badan pemilihan calon tidak boleh bertindak dengan
autoriti mutlak tanpa mendapat maklum balas daripada peringkat akar
umbi.
Hakikatnya, sabotaj dalam parti boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia
boleh dilakukan secara makro dan mikro membabitkan pemimpin, ahli,
calon, jentera dan lawan parti. Kesemua ini terjadi kerana masing-masing
hanya mahu menjadi 'ahli parti' dan bukan 'orang parti'. Jika sekadar
menjadi ahli yang penuh dengan hasad dengki, tamak, ego, tamakkan kuasa,
pangkat serta kedudukan; maka golongan ini tidak teragak-agak
menggunakan apa sahaja kaedah yang hanya bersifat kepentingan diri dan
bukan memperkasakan parti.
Cuba selami kisah kedudukan Khalid Al-Walid sebagai Panglima Perang
di zaman Khalifah Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al Khattab. Ia
wajar dijadikan iktibar dan iltizam oleh pemimpin hari ini dan
kepimpinan akan datang. Bagaimanakah wujud nilai di sebalik mengapa
perlu digugur dan pada waktu yang sama tidak menjejaskan jentera serta
kemampuan parti merupakan dilema yang sedang dihadapi oleh parti politik
agar tidak menjejaskan pencapaian dan perubahan yang cuba diketengahkan
sejak 2008. Malahan ini merupakan antara yang akan dinilai terutama
oleh pengundi bandar dan pengundi atas pagar agar keyakinan dan
kepercayaan pulih berasaskan kepada 'kemuafakatan' dan keteguhan parti.
Parti UMNO jelas serius untuk menangani isu ini dengan penubuhan
Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad
Rithauddeen Tengku Ismail yang turut mengepalai Lembaga Disiplin parti.
Begitu juga dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong agar
nama calon diumum awal untuk mengelak daripada sabotaj ketika PRU supaya
pemimpin yang digugur atau gagal menjadi calon dapat dipujuk agar
kesetiaan kepada parti diutamakan. Ini kerana salah laku sabotaj juga
boleh menjejas barisan jentera parti apatah lagi jika menggunakan emosi
untuk memujuk penyokong mereka tidak membantu seseorang calon sehingga
menghasut agar menggagalkan misi parti sendiri.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kedah ada menyatakan bahawa Kedah adalah winnable state
jika selesai masalah dalaman; dan ia juga merupakan nasihat dan
peringatan kepada keseluruhan gerak kerja seluruh negara kerana
Muhyiddin ada menyatakan bahawa PRU akan datang adalah misi 'hidup atau
mati' demi mempertahankan kedudukan parti yang terhakis sokongan dalam
PRU yang lalu.
Perebutan jawatan dan pangkat bukan baharu dalam mana-mana parti
tetapi masalahnya adalah apabila ia terbawa-bawa sehingga mengganggu
proses 'merapatkan barisan' sebaik-baik sahaja selesai pemilihan
Pengerusi Bahagian, negeri dan Majlis Tertinggi parti. Ada yang rela
mengorbankan parti kerana tidak selesa dengan calon yang menang atau
terpilih menjadi calon PRU. Apakah mereka lebih rela parti kalah kerana
tidak dicalonkan?
Masalah dalaman boleh dihindar jika masing-masing berpegang kepada
asas mengapa menyertai parti politik dan mendalami perjuangan asal
parti. Pemilihan calon yang kalah seperti mana 2008 dan beberapa pilihan
raya kecil perlu dijadikan sebagai pengajaran kerana apa makna menjadi
calon jika kalah dan tahu boleh memberi kesan bukan sahaja kepada calon
dan parti tetapi masa depan parti yang turut bergantung kepada
kewibawaan calon.
Puak yang menentang dan menyokong lumrah dalam sepak terajang politik
tetapi sekiranya PRU akan dilihat sebagai maruah parti dan masa depan
parti, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai calon mesti boleh diterima
asalkan calon adalah winnable untuk rakyat atau pengundi dan bukan syok sendiri dalam parti.
Masalah dalaman juga sering berlaku kerana dana pilihan raya tidak
sampai kepada kumpulan sasar. Jika dahulu, sukarelawan dan pekerja parti
diberikan sedikit imbuhan atas penat lelah mereka, kini ia bukan lagi
bernilai RM10 atau RM15 sedangkan harga rokok sahaja sudah mencecah RM10
sekotak berbanding di bawah RM5 satu ketika dahulu. Ini tidak termasuk
duit minyak motor dan kenderaan serta makan-minum mereka. Dana ada, cuma
sampai atau tidak yang menjadi persoalan; jika tidak sampai, siapakah
yang menyimpannya dan untuk apa?
Penghormatan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pemimpin akar
umbi dan para gurkha parti kerana tanpa mereka siapa calon atau siapa
pemimpin. Mereka merupakan tulang belakang yang perlu dijaga makan-minum
dan kebajikannya. Maka, dana perlu disalurkan kepada mereka dan bukan
disimpan untuk pemilihan dalam parti atau untuk kegunaan sendiri
terutama di kawasan yang dilabel kelabu dan hitam. Jentera akan berkerja
siang dan malam, bertungkus lumus demi parti jika pemimpin menampakkan
nilai 'sepakat' bukan berpakat-pakat untuk menjatuhkan parti atau
'membulatkan diri' tetapi 'sepakat' mempertahankan maruah parti.
Angkuh, hasad dengki, sombong, cemburu dan bersikap sambil lewa serta
berlagak tahu segalanya dalam keadaan parti memerlukan sokongan ahli
perlu dijauhi. Iktiraf dan hormat pemimpin cawangan yang menjadi mata,
telinga dan nadi parti dengan penstrukturan yang kemas dan rapi. Luncai,
Pak Pandir, Si Kitul boleh dilepas pergi tetapi bukan Abu Nawas yang
sayangkan agama, bangsa dan tanah air.
Jangan terpedaya dengan janji-janji palsu segelintir pemimpin yang
'lebih sudu dari kuah' sehingga bijak bersilat dengan gaya seorang
'penipu' yang tidak jujur dan ikhlas kepada parti dan perjuangannya.
Hari ini dia berbaju biru tetapi dalam sekelip mata berubah baju hijau,
merah atau apa sahaja warna kerana kerakusan kuasa sahaja tanpa
mengimbas kedudukannya hari ini adalah juga atas nama parti.
Strategi dalam PRU yang merupakan 'ibu segala pilihan raya' mesti
bersifat rendah diri dan memahami naluri seorang 'rakyat biasa' bukan
berjiwa 'elitis' tetapi orang kebanyakan yang berpaksikan kepada nilai
perkongsian bersama. Sabotaj juga boleh berlaku jika berlebih-lebihan
menonjolkan nilai yang bukan menjadi norma dan amalan budaya kita,
'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak'. Itu
tradisi politik kita.
Amanah untuk memastikan masalah dalaman parti komponen Barisan
Nasional (BN) akan dipikul oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN.
Sejauh manakah pemimpin lain akur untuk menunjukkan nilai komitmen dan
kolektif ke atas keputusan Pengerusi BN juga akan dihalusi oleh pelbagai
kelompok pengundi. Ada pemimpin yang sudah terlalu lama, molek jika
berundur supaya tidak membebankan keputusan yang bakal diambil oleh
Najib dan barisan pemilihan.
Bagi yang telah berkhidmat untuk beberapa penggal, barangkali ini
masanya untuk menjadi idola kepada bakal pengganti; bersama membantu
kempen dan calon baru pula jangan dipinggirkan pemimpin lama kerana
tanpa mereka; parti tiada. Asam garam dalam parti; ada yang elok dan ada
yang kurang elok; kita yang menentukannya. Lihat kepada pencapaian dan
segala kelemahan boleh diperbaiki jika ada jati diri dan komited ke atas
perjuangan masing-masing.
Musibah dalam PRU akan datang barangkali bukan daripada lawan tetapi
parti sendiri jika tidak ditangani dengan berhati-hati. Penguasaan
sumber dan guna tenaga boleh digunakan dengan praktikal dan dikongsi
untuk meningkatkan kedudukan parti dalam PRU akan datang.
Baik bagi pemimpin pusat, negeri, bahagian dan cawangan perlu terus
diperingatkan bahawa 'yang menang bukan menang semua dan yang kalah
bukan kalah semua' jika ikhlas dalam perjuangan politik kepartian
sehingga masalah dalaman tidak akan wujud jika bersedia dengan tindakan
kolektif walau ada jawatan mahupun tidak.
Yang penting, bagaimana untuk mengemudi dan menterjemah sokongan
dalam bentuk undian pada PRU akan datang yang menjadi tanggungjawab
keseluruhan anggota parti tanpa mengira batasan pangkat, kedudukan dan
fungsi dalam parti jika benar-benar mengidamkan kemenangan yang sudah
tidak dapat bergolek seperti satu ketika dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan