KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perjumpaan dua peguam Perancis dengan
ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya bermakna sekiranya Datuk Seri Anwar
Ibrahim membawa Datuk S. Nallakaruppan, Umi Hafilda Mohd. Ali dan Datuk
Shazryl Eskay Abdullah untuk turut serta.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),
Ruslan Kasim berkata, kehadiran mereka penting supaya kedua-dua peguam
berkenaan memahami adakah benar isu utamanya adalah melibatkan kapal
selam Scorpene atau hanya isu moral Ketua Pembangkang itu.
"Untuk mencari kebenaran dan keadilan maka sebagai peguam, sepatutnya
mereka mesti bersedia mendengar pandangan daripada kedua-dua belah
pihak dan bukan hanya menelan apa sahaja yang diperkatakan oleh Anwar
atau orangnya.
"Hanya mereka yang rapat dengan Anwar layak menerangkan siapa Anwar
sebenarnya. Bukannya mereka yang terpengaruh dan terpukau dengan imej
yang hanya dilakonkan oleh Ketua Pembangkang itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pembangkang dan tiga ahli Parlimen pembangkang sebelum ini
dilaporkan menjemput dua peguam Perancis iaitu William Bourdon dan
Joseph Breham bagi memberi taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian
kapal selam, Scorpene.
Sehubungan itu, menurut Ruslan, saranan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad
Zarkashi meminta Anwar menjemput individu-individu yang pernah rapat
dengannya amat bertepatan.
Ini adalah kerana jelas beliau, kesemua individu itu mampu memberi
keterangan terperinci mengenai hobi dan kegiatan sambilan Ketua
Pembangkang tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa Anwar menyatakan jumlah kos yang
perlu ditanggung bagi membawa masuk dua peguam Perancis berkenaan.
"Kita mahu Anwar beritahu siapa yang biayai semua kos itu dan beliau
juga harus menyatakan tujuan pertemuan. Adakah Anwar sendiri yang
membiayai atau kuasa asing?" soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan