Mohd. Shafie Apdal bermesra dengan salah seorang anak mangsa kebakaran di Kampung Selamat, Semporna, Sabah, semalam. - BERNAMA
*****
SEMPORNA 23 Okt. - Parti pembangkang dibidas
kerana sanggup menjadi petualang dan pengkhianat kepada negara sendiri
dengan bertindak sebagai alat kepada pihak tertentu untuk menghancurkan
negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan
mereka untuk membawa masuk dua peguam Perancis yang ditugaskan memberi
taklimat kepada Ahli Parlimen mengenai isu pembelian kapal selam
Scorpene adalah bukti jelas niat jahat mereka.
Tegas beliau, tindakan itu bukannya perkara yang boleh dipandang
ringan kerana membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.
"Kita adalah negara berdaulat yang mempunyai peraturan dan lunas
undang-undang yang perlu dipatuhi. Mereka akan gunakan apa sahaja cara
untuk mencemarkan nama baik negara ini, ini semua berpunca kepada
kepentingan agenda politik mereka semata-mata.
"Kapal selam adalah aset persenjataan negara untuk meningkatkan tahap
keselamatan, sepatutnya mereka perlu bersama-sama memberi sokongan
padu, bukannya menghancurkan negara ini," katanya.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada
mangsa kebakaran Kampung Selamat di sini hari ini.
Tegas beliau, segala dakwaan dan tohmahan pembangkang terhadap isu
kapal selam itu ternyata tidak benar malah penipuan itu sengaja
digembar-gemburkan menjelang pilihan raya umum untuk mendapat ihsan
rakyat.
Sementara itu, Shafie berkata, kerajaan akan menyelesaikan masalah
penempatan mangsa-mangsa kebakaran membabitkan 198 buah keluarga di
Kampung Selamat di sini yang musnah dijilat api dalam kebakaran Khamis
lalu.
Beliau berkata, majoriti mereka merupakan pelarian perang Filipina
yang diwartakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Bagi Orang Pelarian (UNCHR) yang telah menetap di situ sejak 1970-an
lagi.
Bagaimanapun menurut beliau, terdapat juga penduduk tempatan yang terlibat.
"Bagi penduduk berdaftar dengan UNCHR, kita akan merujuk permasalahan
mereka dengan Majlis Keselamatan Negara, manakala penduduk tempatan
akan dirujuk dengan pejabat daerah untuk tindakan susulan termasuk
memberikan bantuan yang sewajarnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan