Abdul Hadi Awang berucap dalam majlis Ceramah Perdana Sempena 22 Tahun Membangun Bersama Islam di Kota Bharu, baru-baru ini.
*****
''Ada orang yang membaca ayat mengharamkan
kerjasama dengan orang kafir dan orang bukan Islam pada tahun 60-an,
mengapa sekarang boleh pula, ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran
seluruhnya, tidak baca amalan Nabi SAW."
Itulah hujah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
mempertahankan kerjasama dengan DAP ketika menyampaikan ceramah sempena
22 tahun pemerintahan Pas di Kelantan, pada Ahad lalu.
Kita tidak pasti siapa yang dimaksudkan dengan Abdul Hadi apabila
beliau berkata, ''ini ucapan orang yang tidak baca al-Quran seluruhnya,
tidak baca amalan Nabi SAW.''
Tetapi apa yang pasti perjalanan politik Pas dalam soal bekerjasama
dengan parti bukan Islam sememangnya diketahui oleh umat Islam di negara
ini.
Pada Ogos 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa
orang Islam yang berkongsi dengan orang kafir untuk memerintah negara,
menjadi kafir atau haram.
Selain itu seperti mana pernah dipaparkan oleh penulis sebelum ini,
pemimpin-pemimpin Pas suatu ketika dulu cukup popular membaca surah Ali
Imran ayat 28 'separuh-separuh'.
Mereka membaca: "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang
yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka
tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun....''
Sambungan ayat itu, ''...kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan
Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya
(menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.''. - tidak dibaca.
Tetapi tidak mengapalah mungkin pemimpin-pemimpin Pas kini semakin
memahami betapa pentingnya kerjasama dengan parti bukan Islam. Mereka
sudah faham sekarang realiti politik Malaysia.
Oleh itu bagi membolehkan kesepakatan yang dicapai bersama DAP maka
Abdul Hadi menganggap mereka tidak faham hubungan yang dipanggil
'tahaluf siasi' itu sebagai ''...ucapan orang yang tidak baca al-Quran
seluruhnya, tidak baca amalam Nabi SAW seluruhnya...''
Sikap Pas mempertahankan kerjasama dengan DAP sememangnya mengagumkan
kerana pemimpin DAP secara terbuka menentang pelaksanaan hukum hudud
yang diperjuangkan oleh Pas.
Sebab itulah pada majlis ceramah yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit
Siang mengakui wujud perbezaan antara parti itu dengan Pas dalam pakatan
pembangkang antara lain membabitkan hukum hudud dan negara Islam.
Apa pun dalam soal kerjasama politik dengan bukan Islam ini, UMNO jauh lebih telus berpegang kepada seruan Islam berbanding Pas.
UMNO sejak dulu memahami bahawa kerjasama itu penting dalam membangunkan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum.
Ini selaras dengan seruan Islam yang menegaskan, berkerjasama dengan
orang bukan Islam untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama
sesama manusia seperti kesejahteraan hidup, keadilan, membanteras
kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih
baik dan sebagainya tanpa melanggar mana-mana hukum syariat, adalah
harus.
Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW
diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam seperti mana firman-Nya
dalam surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud:
"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam".
Malahan dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud; "Allah
tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada
orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan
tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang
yang berlalu adil."
Selain itu, sejarah Rasulullah SAW menunjukkan baginda mengadakan
perjanjian Madinah yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam
tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah.
Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya,
nescaya baginda tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun
ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh baginda disebabkan
mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda.
Apa pun dalam menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam seperti
MCA dan MIC, UMNO tidak pernah menggadaikan prinsipnya apatah lagi
bersikap tidak konsisten dalam memaju dan memperkembangkan Islam.
Sebab itulah, sejak merdeka lagi walaupun pernah dikecam oleh Pas
kerana bekerjasama berkenaan, namun UMNO tetap mempertahankan
kesepakatan itu.
Ini memandangkan UMNO yakin apa yang mereka lakukan bersesuaian
dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 9 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman
rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain)
untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka
teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Apa pun, pemimpin-pemimpin Pas tidak boleh marah jika ada pihak
menyatakan, kerjasama mereka dengan DAP semata-mata untuk memperoleh
kuasa.
Ia memandangkan, Pas sendiri sudah memahami bagaimana penentangan DAP
terhadap perjuangan Islam parti itu, biar pun DAP memberi alasan
kerjasama tersebut dilakukan demi menegakkan keadilan, mengembalikan
demokrasi, memulihkan keutuhan, kebebasan institusi-institusi penting
negara.
Dari satu segi, sememangnya menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan
sesiapa sahaja tetapi janganlah sampai menggadaikan prinsip dan dasar
perjuangannya.
Sepatutnya apa pun berlaku, Pas perlu tegas dengan perjuangan tetapi
malangnya apa yang kita lihat kerjasama antara kedua-dua parti itu lebih
banyak merugikan Pas.
Malahan ketika DAP konsisten menolak hukum hudud dan perjuangan
negara Islam yang diperjuangkan Pas, Pas pula terus terhegeh-hegeh untuk
meneruskan kerjasama berkenaan.
Apabila Pas melihat sikap mereka mula menimbulkan perasaan tidak
senang orang Melayu dan umat Islam, mereka mula berhujah kononnya
perjuangan Islam akan diteruskan.
Oleh itu berikutan kenyataan Abdul Hadi mempertahankan kerjasama
dengan DAP, diharapkan mereka juga tidak lagi memandang serong kerjasama
UMNO dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN).
Terimalah hakikat, biar pun bukan sebuah parti Islam, namun dalam
pelaksanaan perkara berkaitan Islam, UMNO jauh lebih ke depan berbanding
dengan Pas.
Ulama-ulama Pas jangan lagi bercakap soal Islam apatah lagi
melaksanakan hukum hudud kerana semua itu hanyalah khayalan selagi Pas
bekerjasama dengan DAP.
Mereka perlu membuat kenyataan selari dengan apa yang diputuskan oleh
kepimpinan parti supaya mereka tidak dikategorikan '...tok-tok guru
yang mengaji bab sembahyang sahaja, tidak mengaji bab politik...''
Tiada ulasan:
Catat Ulasan