Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama
pengetua yang menerima watikah pengetua cemerlang selepas majlis
penutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan 2012 di Hotel Sunway
Putra, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, semua pihak perlu berpegang pada prinsip Perlembagaan
Persekutuan sedia ada tanpa perlu memberikan definisi semula sama ada
negara ini sekular atau pun sebaliknya.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, di bawah prinsip itu sudah jelas
Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi kaum lain boleh mengamalkan
agama masing-masing.
''Saya rasa biar dikekalkan status itu, tidak perlu mendefinisikan
semula kerana kita sudah melalui proses ini sejak 55 tahun merdeka.
''Apa perlu kita berdebat soal sama ada negara ini sekular atau
negara Islam kerana yang menjadi tunjang adalah Perlembagaan negara,''
katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan
Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang dan menyampaikan watikah
pelantikan pengetua cemerlang 2012, di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri
Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan
sebagai sebuah negara sekular malah, perkataan itu langsung tidak
disebut pada mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas
memperuntukkan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan perkara itu
diperkukuhkan dengan peruntukan lain, selain kedudukan Malaysia berbeza
dengan negara sekular Amerika Syarikat, India dan Turki yang secara
jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka.
Muhyiddin menjelaskan, terpulang kepada tafsiran masing-masing
mengikut kefahaman mereka untuk melabelkan negara ini sekular atau tidak
supaya tidak timbul satu polemik yang langsung tidak memberikan apa-
apa faedah.
Menurut beliau, hal ini demikian kerana Malaysia sudah 55 tahun
merdeka dan keadaan negara kekal aman sejahtera tanpa pergaduhan serta
saling hormat menghormati antara satu sama lain.
''Walau apa pun definisi, terserah kepada rakyat, ada orang lihat
dari sudut Perlembagaan, ada yang lihat dari sudut kumpulan etnik atau
agama kerana di Malaysia ada pelbagai kaum, jadi masing-masing mentafsir
sendiri. Bagi saya tidak mengapa apa pun tafsiran mereka, yang paling
utama adalah yang termaktub dalam Perlembagaan.
''Apa yang penting semua orang sudah terima Perlembagaan itu dan
mereka hidup dalam keadaan baik, jadi apa perlu kita berdebat kerana
saya tidak nampak apa faedah kecuali ada pihak mahu mengggunakan isu itu
sebagai modal politik mereka,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan