DR. MAHATHIR Mohamad menerima
cederamata daripada Pengarah Institut Falsafah Oriental (IOP), Dr.
Yoichi Kawada sambil disaksikan Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya
(UM), Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor dalam majlis Simposium Dialog
Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian di
UM, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad menggesa rakyat supaya membuka mata dan menolak
untuk memilih pemimpin yang mungkir kepada janji.
Merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat yang mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang
walaupun pernah berjanji untuk berundur sebelum ini, katanya, pemimpin
seperti itu akan membawa masalah jika dipilih memimpin negara.
"Saya fikir rakyat perlu ambil perhatian kepada orang (pemimpin) yang
buat janji secara terbuka dan selepas itu mungkir janji. Orang yang
mungkir janji tak harus dipilih untuk menjadi pemimpin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan
ucaptama sempena Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan,
Keharmonian Bersama dan Kelestarian di Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Beliau memberi reaksi terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz yang
membayangkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan
datang kerana ia disyorkan oleh parti.
Pada Ahad lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hasrat Nik Abdul Aziz untuk terus
bertanding dalam pilihan raya umum nanti membuktikan pemimpin tersebut
seorang yang 'tidak sedar diri'.
Ketika menegaskan perkara itu, Ibrahim berkata, "Semasa Pilihan Raya
Ke-10 pada 1999, Nik Abdul Aziz pernah mencabar Dr. Mahathir meletak
jawatan kerana mendakwa beliau sudah tua, nyanyuk dan sentiasa uzur.
Selepas itu beliau akan letak jawatan.
"Tetapi sudah lebih sembilan tahun Dr. Mahathir meletakkan jawatan,
Nik Abdul Aziz sehingga kini belum berbuat demikian walaupun sudah tua
dan nyanyuk seperti pernah dikatakan kepada bekas Perdana Menteri itu
dahulu."
Nik Abdul Aziz yang kini berusia 81 tahun, sudah 44 tahun
berkecimpung dalam arena politik. Beliau yang menyertai Pas pada 1960
sebagai ahli biasa, pernah menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada
1967 dan menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mungkir janji
diyakini akan sentiasa 'mengkhianati' janji-janjinya sepanjang masa.
"Kalau orang macam ini pimpin negara, dia akan mungkir janji sepanjang masa,'' tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin
politik khususnya pembangkang yang menggunakan hukum hudud sebagai isu
politik untuk meraih undi rakyat.
"Hukum Hudud yang digunakan untuk politik sebenarnya bukan hudud.
Perkara itu hanya satu isu politik untuk memberi kemenangan satu pihak.
Saya amat dukacita hukum hudud diguna untuk kepentingan parti tertentu
tetapi bukan untuk kepentingan Islam. Kita harus berpegang kepada
keadilan dalam melaksanakan hukum itu.
"Saya tak setuju hudud jadi isu politik semata-mata nak tunjuk
kononnya mereka pegang kuat kepada Islam dan siapa yang menolaknya, tak
pegang kuat dengan Islam. Sebenarnya mereka yang guna hudud (untuk
tujuan politik) adalah orang yang tak hormati segala ajaran Islam,"
katanya.
Kepada soalan berhubung pendirian MCA terhadap Islam, ujarnya, sejak
dahulu MCA tidak pernah membantah ketika kerajaan mengisytiharkan
Malaysia sebagai negara Islam dan mengamalkan nilai-nilai Islam.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa Malaysia
tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara
sekular, Dr. Mahathir berkata: "Kita (Malaysia) adalah negara Islam.
Semua negara Islam mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan