EKONOMI
negara masih berada di landasan kukuh berdasarkan keupayaan menarik
pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah lebih RM13 bilion pada suku
pertama tahun ini walaupun situasi ekonomi global terus tidak menentu.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, ia jelas
membuktikan para pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap Malaysia
sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.
“Apabila kerajaan menerima pelaburan asing masuk ke negara ini,
selain meningkatkan ekonomi negara, kerajaan juga akan mempertimbangkan
bagaimana pelaburan yang diterima dapat memberi limpahan manfaat kepada
rakyat.
“Manfaat itu adalah dari segi peluang pekerjaan, perniagaan,
peningkatan taraf sosioekonomi dan tanggungjawab sosial korporat kepada
rakyat setempat,” katanya ketika berucap dan menyempurnakan majlis pecah
tanah Loji Pembuatan Biometionina dan platform Tiokimia Bersepadu di
Taman Biopolimer Kertih, Kemaman hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan
Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Speaker Dewan Undangan Negeri,
Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan barisan Exco kerajaan negeri.
Turut hadir, Duta Besar Perancis ke Malaysia, Martine Dorance; Duta
Republik Korea, Lee Yong Joon; Naib Presiden Eksekutif Arkema, Marc
Schuller; Ketua Pegawai Eksekutif CheilJedang (CJ), Kim Chul Ha dan
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John.
ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) merupakan
rakan kerjasama dalam menarik pelaburan itu ke Malaysia dan
merealisasikan pelaksanaannya di Taman Biopolimer Kertih.
Projek di kawasan seluas 70 hektar yang dijangka mula beroperasi
Disember tahun depan diusahakan dengan kerjasama syarikat CheilJedang
(CJ) dari Korea dan Arkema dari Perancis melibatkan pelaburan berjumlah
RM2 bilion.
Fasiliti bersepadu itu merupakan yang pertama di dunia menggunakan
proses penapisan dalam menghasilkan metionina, sejenis asid amino yang
biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.
Najib berkata, Terengganu khususnya amat bertuah kerana menerima
pelaburan begitu besar dan nama negeri itu kini terpahat di peta dunia
dalam sektor industri bioteknologi di samping mengucapkan terima kasih
kepada kepimpinan negeri yang mengambil inisiatif menjayakannya.
“Adakah kita pernah terfikir suatu hari kita mampu mempunyai projek
sebesar ini yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan
pengeksport global. Hari ini, terbukti kita mampu lakukannya hasil
daripada perancangan teliti dan pelaksanaan yang baik oleh kerajaan
Barisan Nasional (BN).
“Saya difahamkan usahasama CJ dan Arkema sahaja diunjur menjana
pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan
RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan,
kebanyakannya untuk penduduk tempatan.
“Dengan unjuran FDI sebanyak RM7 bilion, kompleks seluas 1,000 hektar
itu dijangka diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang
2015,” katanya.
Dalam sidang akhbar kemudian, Najib menjelaskan, tindakan pembangkang
cuba memutarbelitkan fakta mengenai ekonomi negara yang kononnya
dilanda kekalutan tidak akan menghalang kemasukan pelabur asing ke
negara ini.
“Pelabur asing tidak membuat keputusan apa yang pembangkang buat.
Mereka bergantung pada fakta dan indeks pelaburan sebagai alasan untuk
pilih Malaysia. Mereka tetap yakin dengan pengurusan ekonomi di
Malaysia,” ujarnya.
/hwa: terengganutoday.com | 7/10/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan