PEMBENTANGAN Bajet 2013 baru-baru ini bukan
sahaja menggembirakan rakyat dan kakitangan awam, malah turut disambut
baik oleh kementerian-kementerian kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) misalnya telah menyaksikan peningkatan
peruntukan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan
Jenayah sebanyak 68.8 peratus yang bersamaan dengan nilai RM240 juta.
Jumlah yang diterima kali ini adalah sebanyak RM591 juta berbanding dengan RM351 juta yang diterima dalam Bajet 2012.
Peruntukan keseluruhan KDN termasuk perbelanjaan mengurus pula
meningkat sebanyak 16.2 peratus daripada RM9.9 bilion dalam Bajet 2012
kepada RM11.5 bilion dalam Bajet 2013.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abd. Rahim Mohamad Radzi dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di
pejabatnya di Putrajaya kelmarin, melahirkan kesyukuran dengan
pertambahan peruntukan berkenaan khususnya di bawah NKRA Mengurangkan
Jenayah.
Beliau berkata, keutamaan pihaknya kini adalah untuk merangka
strategi pasca bajet bagi memastikan segala janji di bawah NKRA
Mengurangkan Jenayah fasa kedua dapat dilaksanakan dalam tempoh secepat
mungkin.
"Janji kerajaan ini perlu menunjukkan impak yang cepat dan sampai kepada titik sentuhan kita iaitu rakyat.
"Kalau rakyat tidak melihat hasilnya, ini bermakna kita telah gagal
walaupun peruntukan telah disediakan," katanya yang baru dilantik ke
jawatan itu pada Mei lalu.
Berbeza dengan NKRA fasa pertama yang memberi tumpuan terhadap
pengurangan jenayah jalanan, fasa kedua bertujuan meningkatkan keyakinan
rakyat tentang keselamatan dalam negara, sekali gus mengubah persepsi
masyarakat mengenai kadar jenayah.
Persepsi itu akan ditangani melalui kaedah komunikasi, interaksi dan
kerjasama antara agensi di bawah KDN dengan pihak swasta dan masyarakat
setempat.
Selain itu, penekanan akan dibuat bagi mengurangkan jenayah seperti pecah rumah, samun dan jenayah di pusat beli-belah.
Apabila ditanya ke manakah peruntukan terbabit akan disalurkan, Abd.
Rahim menjelaskan, sebahagian daripadanya akan digunakan bagi menambah
10,000 anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) dan mengisi kekosongan
4,000 jawatan anggota polis.
Jelasnya, pihaknya akan turut memasang 496 unit kamera litar tertutup
(CCTV) tambahan di 25 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebanyak 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan akan menerima RM10,000 peruntukan bagi
menggalakkan ahli-ahlinya menjalankan rondaan di kawasan perumahan
masing-masing," katanya.
Katanya, langkah-langkah itu adalah selaras dengan matlamat untuk mewujudkan situasi omnipresence atau peningkatan kehadiran anggota keselamatan dalam masyarakat.
Ia juga selaras dengan konsep community policing iaitu mewujudkan kerjasama antara polis dan masyarakat dalam mencegah jenayah.
Tambah beliau, peruntukan itu akan turut digunakan bagi menyediakan
1,000 motosikal baru untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal bagi
tujuan rondaan dan pemantauan keselamatan di kawasan perumahan.
"Sebelum ini pasukan polis memang ada mengadakan rondaan bermotosikal
berkuasa rendah dan dengan peruntukan baru ini kita akan memberi
tumpuan bagi membeli motosikal berkuasa sederhana.
"Motosikal ini yang akan dipasang dengan peralatan seperti yang
terdapat pada kereta peronda akan turut menjalankan rondaan di kawasan
pedalaman," jelasnya.
Dalam pada itu, jelas beliau, pihaknya merancang untuk memohon
peruntukan tambahan bagi membolehkan dilaksanakan semula pendekatan
Pasukan Gerakan Am (PGA) meronda di kawasan yang banyak berlaku kejadian
jenayah di kawasan bandar.
Selain menggerakkan agensi di bawah KDN, katanya, pihaknya juga akan
meningkatkan kerjasama dengan masyarakat untuk mencegah jenayah seperti
persatuan teksi, pengusaha kompleks beli-belah, pemilik kilang dan bank.
Mengenai isu keselamatan di sekolah, katanya, rakyat akan dapat
melihat peningkatan kehadiran anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia (Rela) di kawasan-kawasan berkenaan.
"Kehadiran anggota kita ini bukan sahaja di sekolah biasa malah di
sekolah antarabangsa pada waktu-waktu sibuk terutama ketika pelajar
datang atau pulang dari sekolah," ujarnya.
Sementara itu, walaupun keseluruhan bajet untuk KDN meningkat,
peruntukan untuk tujuan pembangunan telah mengalami penurunan sebanyak
15.8 peratus daripada RM757 juta dalam Bajet 2012 kepada RM637 juta
dalam Bajet 2013.
Mengulas perkara itu, beliau berkata, penurunan peruntukan berkenaan
tidak banyak memberi kesan kepada KDN kerana pihaknya berpegang kepada
kaedah perbelanjaan secara berhemah.
"Kita akan mengutamakan perkara lebih perlu dahulu. Ini memerlukan
perancangan teliti dan dengan pengurusan yang berhemah, saya rasa kita
boleh menguruskannya," ujar beliau.
Nampaknya usaha memerangi jenayah di negara kita berada di landasan
betul dengan pelbagai peruntukan yang disediakan kerajaan dalam Bajet
2013.
Dengan pelbagai perancangan yang bakal dilaksanakan oleh KDN dengan
menggunakan peruntukan terbabit, sudah pasti kita mampu mencapai
matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat seperti
diharapkan rakyat.
Kita berharap selepas ini tiada lagi persepsi salah rakyat yang menganggap pihak polis tidak mampu menjamin keselamatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan