KUALA LUMPUR 3 Okt. - Sebuah blog hari ini menyiarkan senarai Kabinet
bayangan pakatan pembangkang, jika mereka berjaya menumbangkan kerajaan
Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sambil menyatakan bahan itu diperoleh melalui sumber dalaman Parti
Keadilan Rakyat (PKR), pengendali blog papagomo.com mendakwa, senarai
Kabinet bayangan itu dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu
Tiga, Shuhaimi Shafiei.
Dalam senarai yang mempunyai 31 nama itu, PKR diberi 13 jawatan
menteri, Pas (10) dan DAP (8) manakala satu diperuntukkan kepada
pemimpin dari Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun nama tiga pemimpin iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang,
Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
tidak disenaraikan.
Sementara itu di SHAH ALAM, ketika diminta mengulas pendedahan blog
berkenaan, Shuhaimi menafikan senarai tersebut mempunyai kaitan dengan
kenyataan beliau berhubung 20 pemimpin kanan PKR yang berpotensi
dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
Beliau menegaskan, kenyataannya mengenai perkara itu hanyalah satu
gambaran umum bagi menjawab pertanyaan wartawan, siapakah yang boleh
dilantik sebagai menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya
umum nanti.
Saya tidak pernah membuat kenyataan tentang 20 senarai pemimpin PKR
yang akan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri. Apa yang saya
nyatakan ialah 20 pemimpin PKR yang saya fikir boleh dipertimbang
memegang jawatan tersebut jika pakatan memenangi pilihan raya umum
nanti, itu sahaja.
Saya juga menafikan kenyataan itu mempunyai kaitan dengan senarai
Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang disiarkan menerusi laman blog.
Di peringkat pakatan, tiada perbincangan dibuat mengenai Kabinet
bayangan ini, katanya ketika dihubungi.
Shuhaimi berkata, beliau percaya kenyataannya cuba disensasikan
untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam pakatan pembangkang.
Pada Isnin lalu, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw mempersoalkan tindakan PKR menyenaraikan nama berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan