PULAU PINANG 3 Okt. - Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri hari ini
menunaikan janji untuk membeli tanah di Taman Manggis daripada Kerajaan
DAP Pulau Pinang dengan membayar wang pendahuluan sebanyak satu peratus
daripada harga belian secara tunai.
Ketua Pemudanya, Oh Tong Keong tiba di depan pejabat kerajaan negeri
di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kira-kira pukul 10.30 pagi bersama
wang berjumlah RM224,073 dan mesin kira.
Bagaimanapun berlaku sedikit kekecohan apabila beliau dihalang masuk
oleh pengawal keselamatan manakala kakitangan pejabat Ketua Menteri
enggan menerima wang berkenaan.
Tong Keong bersama beberapa ketua parti komponen Pemuda BN negeri
kemudiannya dibawa oleh Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Faridah M.
Yaakob ke sebuah bank terletak berhampiran bagi mendepositkan bayaran
pendahuluan itu ke dalam akaun Bendahari Kerajaan Pulau Pinang.
Menurut Tong Keong, beliau kesal dengan cara dan layanan kerajaan
negeri sebelum menerima bayaran itu malah tidak memberikan butiran
lanjut tentang jumlah dan cara pembayaran harus dibuat.
Kami telah membuat temu janji sejak awal lagi untuk membayar wang
pendahuluan dan mengadakan perbincangan tapi anda lihatlah bagaimana
cara mereka layan kami.
Masa pembayaran dibuat di bank tadi, wujud juga masalah apabila
tiada nombor siri rujukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran membeli tanah itu
pada 4 September lalu daripada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei
Aik dan bersetuju menyahut cabaran bagi menyelamatkannya daripada jatuh
ke tangan sebuah syarikat swasta.
Kami setuju untuk membeli pada harga RM450 kaki persegi seperti
ditawarkan kerajaan negeri kerana tujuannya mahu membina rumah mampu
milik Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Ini merupakan satu sejarah kerana BN sebagai pembangkang di negeri
ini sanggup membeli tanah untuk membina rumah mampu milik kerana
Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bertanggungjawab apabila mahu menjualnya
kepada syarikat swasta," ujarnya.
Sementara itu, Faridah berkata, beliau tidak dapat memberikan kata
putus mengenai status penjualan tanah tersebut sekalipun bayaran
pendahuluan telah dibuat dan meminta media mendapatkan jawapan daripada
Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Guan Eng yang ditemui selepas melancarkan sebuah majlis lain di Lebuh
Pantai kira-kira dua jam selepas bayaran pendahuluan dibuat, enggan
mengulas lanjut mengenai status penjualan tanah seluas 0.45 hektar di
Jalan Zainal Abidin itu.
Saya tidak dapat komen kerana belum menerima sebarang maklumat
daripada pegawai saya. Saya perlu dapat maklumat daripada pegawai
terlebih dahulu," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan