KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pakatan pembangkang PKR,
Pas dan DAP yang bercita-cita mahu membentuk kerajaan pusat pada pilihan
raya umum akan datang dicabar membuat pengakuan terbuka berhubung
Kabinet bayangan mereka.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin
Mohamad berkata, pakatan itu perlu menghentikan permainan politik 'syok
sendiri' dan 'retorik' yang lebih bersifat sandiwara politik.
''Pemimpin pakatan perlu berani membuat pengakuan terbuka berhubung
Kabinet bayangan sekiranya mereka mahu menilai persepsi politik dari
sudut pemikiran masyarakat umum,'' katanya.
Beliau membidas sikap tidak 'praktikal' pemimpin pakatan yang cuba
mengelak untuk menjawab pertanyaan suara rakyat sebaliknya wujud
pelbagai perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin mereka sendiri
dalam isu tersebut.
''Bukan sahaja saya dan rakan-rakan dalam BN yang berminat mahu
mengetahui segala realiti Kabinet bayangan pakatan yang dilihat terlalu
desperado mahu mengejar kuasa ke Putrajaya, malah seluruh rakyat
menantikan pengumuman tersebut.
''Kita tak perlu membezakan percaturan politik negara lain. Isunya
adalah realiti politik yang perlu didedahkan kepada rakyat supaya mereka
dapat memberikan pertimbangan rasional sejajar tuntutan politik semasa.
Apa yang ditakutkan?,'' katanya seperti dilaporkan oleh The Malaysian Times hari ini.
Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, sekutu pakatan dilihat
tidak sehaluan dalam isu tersebut kerana masing-masing cuba memberi
gambaran yang berlainan antara satu sama lain untuk mengejar kuasa
politik sehingga mencetuskan kontroversi.
Beliau turut menegur sikap pemimpin pembangkang yang selalu
'melarikan diri' daripada menjawab isu sebenar yang dilontarkan dan cuba
mencari alasan remeh temeh untuk menutup kelemahan.
Katanya, kerajaan negeri PKR di Selangor juga kini dilihat semakin
tertekan dengan kebangkitan suara rakyat yang lantang dan berani dalam
isu air, sampah , Talamgate dan sebagainya.
''Gelombang tersebut telah memberikan satu tamparan yang kuat kepada
kerajaan pakatan di Selangor sehingga mereka cuba menggunakan sentimen
politik bakal Menteri Besar Selangor BN sejak kebelakangan ini,''
katanya.
Keadaan ini katanya jelas sekali menunjukkan mereka tertekan dan tidak mempunyai sebarang isu terhadap BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan