SHAH ALAM 3 Okt - Kenyataan Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim mungkin tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor
disifatkan bukan keputusan yang dibuat secara bersama dalam pakatan
pembangkang.
Berikutan itu, Abdul Khalid dalam reaksinya hari ini menyifatkan,
kenyataan itu hanyalah pandangan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR.
''Kebiasaannya komen itu bukanlah daripada pakatan pembangkang
sebagai satu kumpulan. Keputusan seperti siapa yang akan bertanding atau
tidak dalam pilihan raya umum, hanya boleh diumumkan pakatan
pembangkang jika perlu," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Azmin dalam sebuah akhbar hari ini bahawa
Selangor mungkin akan memperoleh Menteri Besar baharu bagi menggantikan
Abdul Khalid sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum
Ke-13.
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, Abdul Khalid lebih diperlukan di
peringkat Pusat sekiranya pakatan pembangkang berjaya memenangi pilihan
raya umum akan datang.
Sementara itu mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk
Mustafa Ali memberi amaran kepada Azmin agar tidak memberi sebarang
kenyataan yang boleh dianggap sebagai pendirian bersama pakatan
pembangkang.
Mustafa seperti dilaporkan lidah rasmi Pas, Harakahdaily hari
ini berkata, kenyataan Azmin bahawa Selangor akan mempunyai Menteri
Besar baru jika pakatan pembangkang mengekalkan kuasa di negeri itu
boleh memberi kesan negatif kepada pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan