KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tindakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim melengah-lengahkan pengumuman berkenaan Kabinet bayangan pakatan
pembangkang membuktikan impiannya itu sebagai angan-angan kosong.
Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa
Malaysia, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Ketua Pembangkang itu akan
tetap berdolak-dalih dalam isu terbabit kerana secara jelas hanya beliau
yang mengimpikan menawan Putrajaya.
"Hanya beliau yang beria-ia mahu menawan Putrajaya sehingga sanggup
menabur janji palsu, tetapi beliau mendiamkan diri apabila didesak
membuat pengumuman berhubung janjinya itu.
"DAP kini dilihat hanya fokus untuk mempertahankan Pulau Pinang
manakala Pas pula fokus kepada Kelantan," katanya dalam satu kenyataan
di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar yang sehingga kini tidak tampil
menyenaraikan Kabinet bayangan mereka yang dipercayai akan
memporak-perandakan pakatan pembangkang jika diumumkan.
Fakhrul Azman mendakwa, DAP dan Pas tidak lagi percaya kepada Anwar
yang mempunyai masalah peribadi dan isu moral yang serius sekali gus
menyebabkan mereka lebih realistik membuat perhitungan politik.
Sementara itu, Fakhrul Azman juga menegaskan laungan Anwar tentang
hak demokrasi adalah satu hipokrasi besar dan perkara itu terbukti
apabila jawatan yang disandangnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR)
diperoleh melalui pelantikan ihsan oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah
Wan Ismail.
"National Endowment for Democracy (NED) patut perbetulkan amalan
demokrasi dalam PKR dan pakatan pembangkang terlebih dahulu, setakat ini
kelemahan NED adalah tidak tahu membezakan demokrasi dan hipokrasi,"
katanya.
Beliau turut mencabar Anwar untuk membuat pengumuman khususnya kepada
Amerika Syarikat dan media barat berhubung pelantikannya sebagai Ketua
Umum PKR yang didakwa melalui proses demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan